Guterres puji peranan Bangladesh dalam misi pengaman PBB, sokongan kepada Rohingya
Bernama
Mac 16, 2025 12:00 MYT
Mac 16, 2025 12:00 MYT
Ketua PBB itu turut menyuarakan solidariti dengan Bangladesh ketika negara itu melalui fasa peralihan politik. - Foto fail
NEW DELHI: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memuji peranan Bangladesh dalam misi pengaman antarabangsa serta kemurahan hatinya dalam menerima pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.
Bangladesh adalah antara penyumbang terbesar kepada usaha pengaman PBB, kata Guterres pada satu acara media di Dhaka pada Sabtu.
"Saya ingin memberi penghormatan kepada pengorbanan dan dedikasi pasukan pengaman Bangladesh, yang berkhidmat dalam beberapa persekitaran paling sukar dan berbahaya di dunia," katanya.
Guterres, yang tiba di negara itu pada Khamis untuk lawatan selama empat hari pada Jumaat melawat Cox's Bazar, kem pelarian terbesar yang menempatkan lebih sejuta etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal.
Ketua PBB itu dan Penasihat Luar kerajaan sementara Bangladesh Mohammad Touhid Hossain menghadiri sidang media bersama di Dhaka pada Sabtu.
Beliau menekankan "kemurahan hati luar biasa" Bangladesh dalam menangani krisis Rohingya.
"Selama bertahun-tahun, rakyat negara ini, terutamanya komuniti di Cox's Bazar, telah menyediakan perlindungan kepada lebih sejuta pelarian yang melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan. Dengan memberikan perlindungan kepada pelarian Rohingya, Bangladesh telah menunjukkan solidariti dan nilai kemanusiaan, selalunya dengan kos sosial, alam sekitar dan ekonomi yang ketara," kata Guterres.
Ketua PBB itu turut menyuarakan solidariti dengan Bangladesh ketika negara itu melalui fasa peralihan politik di bawah Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Muhammad Yunus, susulan kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina pada Ogos tahun lalu selepas protes yang diketuai pelajar selama beberapa minggu.
"Ini adalah detik penting bagi Bangladesh dan masyarakat antarabangsa mesti memainkan peranannya dalam menyokong usaha anda ke arah masa depan yang adil, inklusif dan makmur," kata Guterres.
-- BERNAMA