Guterres gesa guna Artikel 99 Piagam PBB susulan situasi genting di Gaza

Agensi
Disember 8, 2023 05:00 MYT
Guterres berkata, peningkatan penyediaan bekalan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan penduduk awam yang dimandatkan oleh Resolusi 2712 dilihat “sudah menjadi mustahil”. - Foto REUTERS
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB untuk membangkitkan isu “malapetaka kemanusiaan” yang dijangka berlaku di Gaza.
"Kami berada di saat yang genting pawa waktu ini," kata Guterres.
“Terdapat risiko tinggi berlakunya keruntuhan kepada keseluruhan sistem sokongan kemanusiaan di Gaza,” tambahnya lagi.
Guterres berkata, peningkatan penyediaan bekalan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan penduduk awam yang dimandatkan oleh Resolusi 2712 dilihat “sudah menjadi mustahil”.
"Saya menggesa Majlis untuk berusaha keras mendesak gencatan senjata segera bagi melindungi orang awam dan untuk penghantaran segera bantuan bagi menyelamatkan nyawa di sana,” katanya lagi.
“Saya menulis kepada Majlis Keselamatan PBB menggunakan Perkara 99 kerana kita berada di saat genting.
“Terdapat risiko tinggi keruntuhan keseluruhan sistem sokongan kemanusiaan di Gaza, yang akan membawa akibat yang dahsyat.
“Kami menjangkakan berlakunya peningkatan tekanan untuk pemindahan besar-besaran ke Mesir. Saya bimbang akibatnya boleh memudaratkan keselamatan seluruh wilayah,” katanya menerusi surat yang dihantar kepada Majlis Keselamatan PBB.
Guterres memperincikan isu kemanusiaan yang menjejaskan penduduk Gaza dan berkata keadaan semasa tidak memberikan perlindungan yang berkesan kepada orang awam.
Beliau juga turut mengutuk tindakan Hamas sebagai “kejam” tetapi juga mengkritik kerajaan Israel kerana memulakan “hukuman kolektif” kepada rakyat Palestin.
#Gaza #gencatan senjata #Israel #PBB
;