Gus Miftah 'body shaming' pelawak senior undang kecaman
Sinar Harian
Disember 7, 2024 18:31 MYT
Disember 7, 2024 18:31 MYT
MIFTAH Maulana atau Gus Miftah terus menjadi sasaran kecaman orang ramai menerusi video lama yang sekali lagi mendedahkan 'keceluparannya' pada hari sama beliau melepaskan jawatannya sebagai Utusan Khas Presiden Indonesia.
Menerusi klip tersebut, Gus Miftah secara terang-terangan bergurau agak kasar apabila merendahkan pelawak senior, Yati Pesek dengan memberikan komen kecam badan (body shaming) terhadapnya di hadapan khalayak umum.
Beliau dengan selamba menyebut fizikal Yati Pesek sebagai 'kejelekan'.
Video itu yang dimuat naik tahun lalu telah dikongsikan secara meluas oleh warganet sejak Jumaat.
Seniman berusia 72 tahun itu dalam satu kenyataan memberitahu beliau berasa sakit hati dengan kata-kata Gus Miftah, namun tidak mampu membalas apa-apa.
"Ya, saya cuma berdiam sahaja. Saya ni menjadi orang seni sejak dari muda... tergamak dia berkata begitu kepada saya," katanya menerusi kenyataan dimuat naik aktor, Erick Estrada di akaun Instagram miliknya.
Susulan pendedahan terbaharu itu, netizen kembali 'menyerang' pendakwah itu malah hashtag #GusMiftah turut menjadi trending.
Kebanyakan pengguna media sosial menuntut penjelasan dan permohonan maaf Gus Miftah atas keterlanjuran kata-katanya yang jelas tidak mencerminkan nilai toleransi dan menghormati orang lain.
"Sepatutnya, seorang tokoh agama memberikan contoh yang baik bukan bergurau secara berlebih-lebihan dengan merendahkan orang lain," menurut salah satu komentar.
Kecaman berterusan yang diterimanya menyebabkan pemilik nama sebenar Miftah Maulana Habiburrahman itu mengemukakan permohonan maaf, namun tetap angkuh apabila menyatakan enggan mengubah gaya dakwah beliau.
Tetapi, pemimpin Pesantren Ora Aji itu berjanji akan lebih berhati-hati dalam berkata-kata.
"Semua orang mempunyai karakter masing-masing dan saya akan tetap pertahankan karakter saya," ujarnya.
Ketika disoal tentang video bersama Yati Pesek yang menjadi tular, Gus Miftah menyatakan beliau tidak dapat berbuat apa-apa.
"Klip lama diungkit kembali. Insya-Allah hubungan saya dengannya tidak terkesan dan pihak saya sudah pun menghubunginya," jelasnya lagi. - Sinar Harian memetik agensi