Guru tadika terkejut raih ganjaran lebih 10 tahun gaji dalam penstriman langsung

Astro Awani
Mei 11, 2023 13:34 MYT
Huang meraih populariti dalam talian selepas video dia mengajar lagu dan puisi kanak-kanak menjadi tular di platform media sosial TikTok. -DOUYIN/@
WUHAN: Seorang guru tadika di China berhenti kerja selepas usaha pertamanya dalam penstriman langsung menyaksikan dia berjaya meraih ganjaran lebih 120 bulan nilai gajinya dalam hanya satu siaran.
Wanita dari wilayah Hubei itu, yang hanya dikenali sebagai Huang, meraih populariti dalam talian selepas video dia mengajar lagu dan puisi kanak-kanak menjadi tular di platform media sosial TikTok.
Klip dia menyanyikan lagu tentang menanam bunga di taman mendapat lebih 100 juta tontonan, lapor Oriental Daily.
Dengan penampilan dan kaedah pengajarannya yang menarik, Huang telah memperoleh lebih 4.3 juta pengikut pada akaun TikToknya.
Akaun Huang mula dibanjiri ganjaran atau token setelah dia bersetuju dengan permintaan peminatnya untuk melakukan penstriman langsung pada awal Mei.
Huang dilapor memperoleh di antara 400,000 dan 500,000 yuan (kira-kira RM257,000 dan RM322,000) semasa sesi itu.
“Saya sangat gembira... saya membuat strim langsung selama sehari dan memperoleh lebih daripada 10 tahun gaji saya.
"Terima kasih, semua,” katanya.
Menurut laporan Oriental Daily, Huang, yang kini melakukan penstriman langsung sepenuh masa, memperoleh kira-kira 3,000 yuan (kira-kira RM1,930) sebulan ketika bekerja sebagai guru tadika.
Huang telah menandatangani kontrak dengan agensi pengurusan pempengaruh dan memperoleh 2 juta yuan (kira-kira RM1.28 juta) dalam tiga siaran pertamanya.
#guru tadika #TikTok #penstriman langsung #berhenti kerja #10 tahun gaji
;