Guru mohon maaf selepas tampar murid lewat 30 minit masuk kelas

Agensi
April 21, 2018 09:30 MYT
Rakaman itu menyaksikan guru tersebut mengusap pipi seorang pelajar sebelum menampar sekuat-kuatnya sehingga pelajar berkenaan terhuyung-hayang. - Foto YouTube
SEORANG guru tampil memohon maaf dan memberi penjelasan selepas mencetuskan kontroversi menampar sembilan orang pelajarnya yang hanya lewat 30 minit masuk ke kelas di sebuah sekolah di Jawa Tengah, Indonesia.
Lukman Septiadi, 27 tahun, memuat naik video bagi memberi penjelasan berkenaan tindakannya itu dan mengumpulkan kesemua sembilan orang murid yang ditampar di dalam sebuah bilik.
Rakaman berdurasi empat minit 30 saat tersebut menyaksikan Lukman mengaku atas dakwaan itu dan menunjukkan pelajar-pelajar itu berada bersamanya tanpa menyebut nama.
“Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara tanpa sebab malah saya juga faham jika mereka mempunyai rasa dendam atas tindakan itu,” kata Lukman.
Menurutnya lagi, mungkin dia seorang yang menakutkan tetapi apabila ditanya sama ada mereka rasa dibuli dan dianiaya, pelajar-pelajar tersebut menjawab tidak.
Guru mata pelajaran Teknik Rangkaian Komputer itu turut meminta maaf atas tindakannya serta kesembilan pelajar tersebut juga telah memaafkannya.
“Dengan hati yang tulus, saya meminta maaf jika saya telah menyakitkan hati kamu semua. Adakah kalian menerima maaf saya?” tambahnya dalam rakaman itu.
Dalam pada itu, rakaman yang tular berdurasi 22 saat di platform YouTube tersebut dirakam oleh salah seorang rakan sekelas mereka.
Merujuk laporan media tempatan, kesembilan pelajar berkenaan lewat masuk ke kelas kerana sarapan di kantin sekolah.
Namun rakaman itu menyaksikan guru tersebut mengusap pipi seorang pelajar sebelum menampar sekuat-kuatnya sehingga pelajar berkenaan terhuyung-hayang.
Lukman juga mengingatkan pelajar lain bahawa tamparannya sangat menyakitkan dan jika mereka menangis, dia meminta supaya pelajar lain tidak mentertawakan mereka.
#guru #Indonesia #pelajar #tampar #Tular #video #YouTube
;