Guru ini beri alasan epik kenapa tinggalkan kerjaya mendidik di pra-sekolah

Agensi
Jun 30, 2019 04:00 MYT
Jessica Gentry kini mahu menumpukan kepada p[endidikan menyeluruh anaknya, dan berikrar mahu membantu ibu bapa yang mahukan anak masing-masing mendapat perhatian sewajarnya di rumah. - Facebook Jessica Gentry
MENDIDIK anak-anak dalam zaman yang kebanyakan daripada kita cenderung pada gajet teknologi, tentunya tidak semudah dulu.
Kesukaran itu ditambah pula dengan ibu bapa yang enggan memahami tugas tenaga pengajar, malah tidak memahami fungsi mereka sendiri, dengan tidak memberi perhatian terhadap konsep mendidik yang sepatutnya bermula di rumah.
Seorang guru pra-sekolah dari Virginia, Amerika Syarikat, Jessica Gentry, baru-baru ini menulis panjang lebar di Facebook tentang keputusannya mengundurkan diri dari sebuah tadika.
Penulisannya menjadi tular apabila disiarkan media antarabangsa, malah ramai yang bersetuju dengan pandangannya tentang perangai kanak-kanak zaman ini yang ada kaitan dengan cara mereka menerima layanan di rumah.
Menurut Gentry, hantaran Facebook yang telah dikongsi lebih 216,000 kali itu adalah untuk menjawab spekulasi ramai yang menyatakan dirinya ‘meninggalkan dunia mendidik kerana gaji yang rendah’.
Bagi wanita berusia 34 tahun dan ibu kepada seorang anak tersebut, bukan wang yang menjadi puncanya.
“Saya rasa begitu mudah untuk orang ramai menyangka bahawa saya tinggalkan dunia pendidikan kerana gaji yang rendah. Terlalu mudah bagi bekas pengarah sumber manusia saya untuk percaya jika saya menemui sesuatu (kerjaya) yang lebih saya minati.
Ibu bapa yang telah berubah
“Ada alasan lama... bahawa ‘anak-anak sekarang sudah berubah’. Tidak. Tidak sama sekali. Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Ibu bapa yang telah berubah. Masyarakat yang telah berubah. Kanak-kanak hanyalah mangsa yang tidak bersalah,” tegas Gentry.
Tambah Gentry, ibu bapa kini terlalu sibuk dalam waktu kerja yang gila, terlalu banyak habiskan masa dengan gajet-gajet mereka, lalu meninggalkan anak-anak dalam situasi pengawasan yang tidak stabil selain pengaruh media yang buruk.
“Dengan semua itu, kita mahu beri alasan bahawa kanak-kanak sudah berubah? Apa yang kita harapkan pada mereka?
“Kanak-kanak itu menterbalikkan meja di sekolah? Itu kerana mereka tidak mempunyai tempat yang selamat di rumah. Kelas kami pula adalah tempat yang pertama mereka mendengar ‘tidak’ atau ‘jangan’, dan diberikan batasan, yang ditunjuk menerusi rasa hormat,” tegasnya lagi.
Gentry berkata, respons biasa tentang kaedah menangani perkembangan itu adalah dengan menyiapkan sekolah ‘abad ke-21’, iaitu yang mendekatkan pelajar secara terus dengan teknologi.
Bagaimanapun, teknologi bukanlah elemen yang akan menyelamatkan perkembangan sahsiah anak-anak.
“Oh. Okay. Jika teknologi jawapannya, lupakan saja tentang asas membangunkan nilai perhubungan dan pelajaran secara praktikal. (Sedarkah) bahawa kanak-kanak kini sudah tidak pandai membaca isyarat sosial atau membawa diri dengan tertib dalam suasana sosial. Nak buat apa lagi? Campaklah saja gajet teknologi kepada mereka,” sindir Gentry.
Gentry juga kecewa apabila tidak menerima kerjasama yang baik daripada ibu bapa, sebaliknya guru hanya menerima layanan seperti dalam perkhidmatan pelanggan.
“Saya telah melihat bebelan di Facebook tentang kehadiran kelas dan kemudian menerima ‘surat'. Sebenarnya begini... saya tidak boleh mengajar anak anda jika anak-anak anda itu tidak hadir ke sekolah.
“Saya pernah disumpah seranah oleh ibu bapa yang mahu menyertai rombongan sekolah, namun tidak mengetahui tentang nota awal yang diberikan, dan apabila mereka ikut sesi rombongan itu, mereka hanya duduk bermain telefon bimbit mereka sepanjang masa.
“Saya pernah ditinggalkan oleh ibu bapa dalam sesi pertemuan sekolah dan kemudian mereka membuat aduan tentang saya yang menolak untuk menawarkan pilihan aktiviti selepas waktu sekolah.
“Saya pernah bertemu dengan ibu bapa yang melarang saya mengatakan ‘jangan’ pada anak-anak mereka.
“Kesihatan mental dan fizikal saya terjejas setiap hari, lebih-lebih lagi apabila menyedari anak-anak anda perlu dan berhak terima lebih daripada yang mereka terima,” kata Gentry.
Baginya, pendidikan anak-anak perlu dibahagikan dengan seimbang antara guru di sekolah dan waktu anak-anak itu di rumah, iaitu menerima perhatian dan contoh baik daripada ibu bapa sendiri.
Tambah Gentry, keputusannya untuk berhenti kerja adalah untuk memberi tumpuan penuh kepada perkembangan anaknya sendiri, dan berjanji akan berkongsi dengan mana-mana ibu bapa yang mahu mengorbankan masa untuk memberi perhatian sebenar pada anak-anak masing-masing.
Untuk melakukan semua itu, dia tidak boleh terus bekerja dalam persekitaran yang terlalu meminta banyak daripadanya, tanpa disokong dengan wajar oleh ibu bapa, yang hanya meletakkan tanggungjawab mendidik ke atas guru.
"Saya akhirnya sedar, saya tidak boleh menyelamatkan semuanya. Tidak boleh selamatkan orang lain jika anda sendiri tidak sihat," ujarnya.
#ibu bapa #jessica gentry #Kanak-kanak #kerjaya mendidik #sekolah #zaman teknologi