Guru di Chicago perlu kembali ke bilik darjah - Datuk Bandar
Astro Awani
Februari 4, 2021 06:25 MYT
Februari 4, 2021 06:25 MYT
CHICAGO: Datuk Bandar Chicago, Lori Lightfoot menuntut agar kesatuan guru di bandar itu mencapai persetujuan mengenai protokol keselamatan COVID-19.
Ia sekali gus meminta kesatuan guru memberi kerjasama mengembalikan ribuan pelajar ke bilik darjah.
“Kami masih menunggu. Secara jelas, kami tak boleh bersabar lagi.
"Setelah lebih 80 rundingan untuk menangani pelbagai masalah dan kebimbangan kepemimpinan CTU (Chicago Teachers Union), kami sudah kehabisan cara.
“Sekolah-sekolah dibuka dan selamat, kami bersedia mengalu-alukan kedatangan pelajar kami.
“Terus terang, mereka sudah lama bersedia, yang kita perlukan sekarang adalah kepemimpinan CTU untuk bersungguh-sungguh dan bertemu untuk keputusan muktamad," katanya.
Lightfoot berkata pihaknya akan menghentikan guru dari pembelajaran jarak jauh jika mereka tidak muncul di bilik darjah.
Bagaimanapun, Lightfoot tidak mengatakan apa tindakan yang akan diambil sekiranya CTU tidak mencapai persetujuan mengenai keputusan pembelajaran bersemuka.
Sekolah diumumkan cuti bermula Jumaat dan rundingan dijangka berlangsung sepanjang hujung minggu.
#COVID-19
#Lori Lightfoot
#Datuk Bandar Chicago
#kesatuan guru
#Chicago Teachers Union
#pelajar ke bilik darjah
#pembelajaran jarak jauh
#pembelajaran bersemuka