Gurau tak bertempat, budak lelaki hampir hilang testikel akibat prank 'Bangkok'

Asyraf Roslan
September 23, 2019 08:58 MYT
Bailey terpaksa menjalani pembedahan untuk menyelamatkan testikelnya daripada dibuang. -Gambar Freepik.com / jakkphoto
BERGURAU perlu ada batasnya. Jangan kerana niat untuk 'kenakan kawan' hingga menyebabkan rakan sengsara akibat tindakan yang seolah tidak bertamadun.
Dalam kejadian di England baru-baru ini, trend gurauan kasar bertukar tragedi apabila seorang budak lelaki hampir kehilangan alat sulitnya selepas ditumbuk di pangkal paha oleh rakan sekolah.
Bailey Summers, 12, digegaskan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan testikelnya daripada dibuang, lapor portal Mirror.
Insiden tragis ini bermula daripada prank klasik 'popular' di mana pelaku akan bertanya kepada mangsa, "Apakah ibu negara Thailand?" Apabila mangsa menjawab "Bangkok" (bang-cock), alat sulitnya akan dipukul.
Kebiasaannya, pelaku hanya memukul 'perlahan' di bahagian sulit, namun dalam insiden kali ini, mangsa dikatakan dipukul dengan kuat.
Bailey dilaporkan pulang membawa ubat tahan sakit paracetamol, namun apabila kesakitannya tidak juga reda, ibunya Emmajayne, 32, terus membawa Bailey ke hospital.
Keadaan bertambah buruk, apabila doktor di Hospital Universiti James Cook meminta Emmajayne untuk menandatangani borang kebenaran pembedahan untuk membuang testikel anaknya itu jika terpaksa.
Bercakap kepada media antarabangsa, Emmajayne berkata anaknya menderita kesakitan hampir 20 minit ketika bersiap masuk ke bilik bedah.
"Pihak hospital tidak dapat memberikan ubat bius yang betul kepada anak saya dan mereka tidak mempunyai banyak masa.
"Hancur hati saya melihat anak saya menangis menjerit dan merayu meminta saya untuk membantunya," kata Emmajayne kepada media.
Tambahnya, pakar bedah memerlukan masa empat jam untuk merawat testikel Bailey, namun terpaksa membuangnya jika terpaksa.
"Saya terpaksa menandatangani borang tersebut untuk membenarkan kedua-dua testikel anak saya dibuang jika terpaksa," katanya.
Dilaporkan pembedahan itu berjaya dan Bailey sudah boleh bergerak menggunakan kerusi roda.
"Dia sangat bernasib baik. Dia terpaksa menerima empat jahitan pada setiap testikel.
"Buat masa ini dia hanya boleh berkerusi roda selama dua minggu dan tidak boleh melakukan aktiviti berat selama enam minggu," kata Emmajayne.
Emmajayne turut meminta agar orang ramai menghentikan gurauan kasar tersebut yang hanya akan memudaratkan seseorang.
#Bailey Summers #bang-cock #Bangkok #Emmajayne #gurauan kasar #prank #testikel
;