"Gunung tinggi sanggup aku daki..", padahal lelaki ini menipu pernah takluk Gunung Everest
Agensi
Februari 12, 2021 09:00 MYT
Februari 12, 2021 09:00 MYT
JIKA pepatah “gunung tinggi sanggup aku daki, lautan luas sanggup aku redah” itu benar-benar boleh ditepati dan ditunaikan, maka baguslah.
Namun, jika anda sanggup menipu demi mendapatkan pengiktirafan seperti lelaki ini yang mendakwa dirinya telah berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia, lupakanlah hasrat untuk meluahkan pepatah itu kepada seseorang.
Baru-baru ini, dua pendaki yang berasal dari India mendakwa mereka telah berjaya mendaki Gunung Everest pada musim panas tahun 2016, namun semua itu hanya dakwaan palsu.
Ia selepas satu siasatan dilakukan bagi menentukan kebenaran sama ada mereka benar-benar mendaki gunung tersebut.
Jurucakap Kementerian Pelancongan, Tara Nath Adhikari memberitahu AFP, siasatan dan pertanyaan dengan para pendaki lain menunjukkan mereka tidak pernah tiba di kemuncak gunung tersebut.
Jelas Adhikari, mereka tidak dapat mengeluarkan sebarang bukti tentang pendakian ke puncak (gunung itu) malah gagal mengemukakan foto-foto berkaitan pendakian di puncak Gunung Everest.
Dua pendaki itu dan ketua pasukan kumpulan pendakian itu, Naba Kumar Phukon, kemudian telah dilarang mendaki gunung tersebut selama enam tahun bermula pada bulan Mei 2016.
Sebelum pendakwaan mereka itu berjaya dihidu pihak berkuasa, Narender Singh Yadav dan Seema Rani Goswami serta pasukan pendakian mereka mendakwa mereka berjaya memanjat sehingga ke puncak gunung sehinggakan Jabatan Pelancongan Nepal kemudian mengiktiraf dakwaan mereka itu.
Ia nyata menimbulkan kemarahan dalam kalangan pendaki India, selepas Yadav disenaraikan untuk menerima Anugerah Pengembara Norgay Tenzing pada tahun lalu.
Susulan daripada penipuan itu, kerajaan Nepal mengambil tindakan tegas dengan membatalkan sijil mengiktiraf kejayaan dua pendaki India menakluk Gunung Everest pada tahun 2016.
Dua pendaki itu dan ketua pasukan kumpulan pendakian itu, Naba Kumar Phukon kini dilarang mendaki gunung tersebut selama enam tahun bermula pada bulan Mei 2016.
Bukan itu sahaja, mereka dan syarikat yang menganjurkan aktiviti pendakian itu turut didenda AS$450 (RM1,819) dan seorang sherpa yang didakwa membantu mereka mendaki gunung tersebut didenda sebanyak AS$85 (RM343).
Ketinggian Gunung Everest meningkat