Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus

Bernama
Disember 15, 2024 20:53 MYT
Gunung Semeru, yang terletak di Wilayah Jawa Timur, Indonesia meletus pada Ahad, memaksa Pusat Kajian Gunung Berapi dan Mitigasi Bencana Geologi republik itu mengeluarkan amaran penerbangan. - Foto REUTERS
JAKARTA: Gunung Semeru, yang terletak di Wilayah Jawa Timur, Indonesia meletus pada Ahad, memaksa Pusat Kajian Gunung Berapi dan Mitigasi Bencana Geologi republik itu mengeluarkan amaran penerbangan, lapor Xinhua.
Debu tebal berwarna putih hingga kelabu naik setinggi 1,000 meter ke udara dan terbawa ke arah timur laut dari kawah, menurut laporan pusat itu.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran penerbangan kedua tertinggi dengan menetapkan Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) berwarna jingga, yang mengehadkan penerbangan dalam radius lima kilometer (km) dari gunung berapi itu.
Zon bahaya sejauh tiga kilometer (km) telah diisytiharkan, manakala kawasan tenggara gunung berapi itu mempunyai radius bahaya yang dilanjutkan sehingga lapan km dari kawah. Di luar kawasan ini, pihak berkuasa melarang penduduk daripada melakukan sebarang aktiviti dalam jarak 500 meter dari sungai-sungai yang berpunca dari lereng gunung berapi tersebut, kerana potensi aliran lahar dan awan panas yang mungkin mencapai jarak sejauh 13 km.
Gunung Semeru, dengan ketinggian 3,676 meter, merupakan antara 127 gunung berapi aktif di Indonesia.
-- BERNAMA
#Gunung Semeru #meletus #Jawa Timur #Indonesia
;