Gunung Merapi Indonesia meletus, ratusan penduduk dipindahkan

Agensi
Mac 10, 2022 13:49 MYT
Gunung Merapi itu mula memuntahkan wap panas antara pukul 5 petang dan 2 pagi waktu tempatan, pada Rabu. - Foto AP
YOGYAKARTA: Gunung Merapi di Indonesia meletus pada Rabu menyebabkan lebih 250 penduduk sekitar terpaksa berpindah mencari tempat perlindungan sementara selepas ia mula memuntahkan laharnya.
Reuters yang memetik Badan Nasional Tindakan Bencana (BNPB) melaporkan, setakat ini tiada sebarang laporan kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.
Aliran piroklas, iaitu gelongsoran batu, abu dan gas gunung berapi dilaporkan mengalir sejauh lima kilometer (km).
Gunung Merapi itu mula memuntahkan wap panas antara pukul 5 petang dan 2 pagi waktu tempatan, pada Rabu.
Penduduk kampung yang tinggal di lereng Gunung Merapi disarankan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya tujuh kilometer (km) dari mulut kawah.
Gunung Merapi setinggi 2,968 meter (m) terletak berhampiran Yogyakarta, di Pulau Jawa.
Bandar itu adalah pusat budaya Jawa dan lokasi dinasti kerajaan sejak berabad lamanya.
Gunung Merapi sering meletus sejak sedekad yang lalu dan pada 2010, ANTARA melaporkan letusan gunung berkenaan meragut 347 nyawa dan memaksa lebih 20,000 penduduk dipindahkan.
Indonesia, kepulauan dengan lebih 250 juta penduduk, terletak dalam 'Lingkaran Api Pasifik' dan terdedah kepada gempa bumi serta letusan gunung berapi, dengan ahli seismologi kerajaan memantau lebih 120 gunung berapi aktif.
#Gunung Merapi #meletus #penduduk berpindah #Joko Widodo
;