Gunung Marapi muntahkan abu setinggi 3,000 meter

Astro Awani
Disember 4, 2023 09:00 MYT
Letusan pada jam 2.54 petang waktu tempatan itu memuntahkan abu hingga bertebaran sejauh 3 kilometer dari kawah puncak, diiringi bunyi gemuruh. - Foto X/Disaster News
CANDUANG: Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat, Indonesia meletus petang semalam dan memuntahkan abu gunung berapi setinggi hampir 3,000 meter ke udara pada Ahad.
Gunung berapi berkenaan merupakan paling aktif di pulau Sumatera selain merupakan destinasi popular pelancongan rantau Asia.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan, letusan pada jam 2.54 petang waktu tempatan itu memuntahkan abu hingga bertebaran sejauh 3 kilometer dari kawah puncak, diiringi bunyi gemuruh.
Susulan itu, ia telah mengakibatkan hujan abu melitupi daerah Agam di Sumatera Barat dan pihak berkuasa menasihati orang ramai memakai pelitup muka.
Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi 2,891 meter itu telah berterusan sejak awal tahun ini dengan status amaran ditetapkan pada tahap dua.
Bagaimanapun, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, Abdul Muhari, berkata tiada kemalangan jiwa ataupun kerugian harta benda dilaporkan.
Manakala aktiviti masyarakat juga tidak terjejas.
Gunung Marapi direkodkan meletus pada 8 September 1830 dan sekali lagi pada 30 april 1979 yang menyebabkan sekurang-kurang 60 kematian.
Ia turut menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 sebelum meletus pada 26 Februari 2014.
Menurut agensi volkanologi, Indonesia terletak di kawasan Pasifik yang dipanggil 'Ring of Fire' dan mempunyai sekurang-kurangnya 127 gunung berapi aktif.
#memuntahkan abu #meletus #bunyi gemuruh #gunung marapi
;