'Gunung Everest kehilangan salji, lebih kering dan berbatu'
Sinar Harian
Mei 21, 2023 07:10 MYT
Mei 21, 2023 07:10 MYT
KATHMANDU: "Gunung Everest semakin kehilangan salji dan bertukar menjadi lebih kering dan berbatu."
Pendedahan itu dibuat pendaki Britain, Kenton Cool pada Sabtu yang melakukan pendakian kali ke-17 sekali gus mencipta rekod peribadi baru-baru ini.
"Jika anda kembali semula pada awal pertengahan tahun 2000, kawasan itu masih dilitupi salji tebal. Kini, permukaannya berubah dari tahun ke tahun.
"Saya tidak pernah melihat kejadian runtuhan batu seperti yang berlaku di Lhotse Face, sepanjang laluan ke puncak sebelum ini," kata Cool, 49, yang pertama kali menawan puncak itu pada 2004.
Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan betapa keringnya permukaan Everest sekarang.
"Ia mungkin berpunca daripada kurangnya taburan hujan atau salji. Ia juga mungkin impak daripada pemanasan global dan perubahan alam sekitar," ujarnya.
Keadaan itu bagaimanapun tidak akan menghentikan Cool melakukan ekspedisi sama pada masa akan datang kerana dia mahu kembali semula pada 2024.
Sebelum ini, saintis iklim mendakwa suhu bumi telah meningkat secara purata 0.74 darjah Celsius sejak lebih 100 tahun lalu, namun pemanasan di sekitar banjaran Himalaya adalah jauh lebih tinggi berbanding purata global.
Difahamkan, suhu purata di Nepal telah menyaksikan peningkatan sebanyak 0.06 darjah Celsius setiap tahun berikutan kedudukannya antara China dan India yang merupakan dua negara pencemar paling besar di dunia. - Agensi/Sinar Harian