Gunung Bromo meletus: Kunjungan pelancong dihadkan, alat pemantau pula hilang

Agensi
Oktober 7, 2016 19:14 MYT
Foto yang dipada Julai lalu ini menunjukkan pemandangan di Gunung Bromo. Dalam perkembangan tebaru, pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga awal berikutan insiden letusan kecil. - Foto AFP
Pihak berkuasa Indonesia kini membataskan pelancong daripada mendekati destinasi gunung berapi paling popular di negara itu berikutan letusan kecil pada Khamis, lapor media tempatan.
Letusan kecil di Gunung Bromo tersebut dikhuatiri sebagai petanda berlaku sesuatu yang lebih besar.
Orang kampung, pendaki dan pelancong tidak lagi dibenarkan berada dalam lingkungan jarak 2.5km dari Gunung Bromo yang terletak di timur Pulau Jawa itu.
Sehingga kini, gunung itu mengeluarkan asap debu hingga beratus-ratus meter ke udara, memetik kata jurucakap agensi pengurusan bencana Sutopo Purwo Nugroho.
Bagaimanapun, ketika aktiviti letusan sedang aktif, Sutopo turut mendedahkan tentang kehilangan alat pemantau aktiviti gunung berapi milik Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) di lokasi yang diletakkan.
"Peralatan pemantauan aktiviti Gunung Bromo milik PVMBG yang dipasang di Lautan Pasir, Dusun Cemorolawang Desa Ngadisari Kecamatan Sukapura Kabupaten Probolinggo hilang pada hari Ahad (18 September) sekitar jam 6 petang (waktu tempatan),” ujar Sutopo kepada portal berita Detik News.
Menurutnya, kehilangan seumpama itu berlaku di banyak lokasi bencana akibat perbuatan mencuri, vandalisme dan keterbatasan kos memulihara serta mengemas kini peralatan.
“Itu memberi masalah jika hendak menyampaikan amaran awal tentang bencana,” keluh Sutopo.
Sementara itu, Sutopo juga memberitahu, para pelancong masih boleh menikmati keindahan Gunung Bromo. Antaranya adalah dari Tosari dan Penanjakan. Dari Probolinggo pula, pemandangan dapat dilihat dari Ngadasari.
"Jika dari Lumajang, Bromo dapat dilihat dari Argosari B29. Justeru, ketika terjadi letusan, ia dapat disaksikan dari tempat yang selamat," ujarnya.
Sejak letusan bermula, penerbangan yang dijadual mendarat di lapangan terbang terdekat telah dilencongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Indonesia terletak dalam zon aktif seismik yang dipanggil Lingkaran Api Pasifik, iaitu kedudukan plat bumi yang bergeseran seterusnya menghasilkan kejadian gempa dan gunung berapi.
#gunung berapi meletus #Gunung Bromo #letusan gunung berapi #pelancong #pengurusan bencana #Probolinggo
;