Gunung berapi Taal di Filipina boleh meletus lagi pada bila-bila masa
Agensi
Januari 20, 2020 18:45 MYT
Januari 20, 2020 18:45 MYT
Gunung berapi Taal di Filipina berpotensi untuk meletus sekali lagi ekoran terdapat aktiviti pergerakan magma yang baru selain peningkatan pelepasan gas toksik, lapor Reuters.
Sehingga kini, gempa bumi masih berlaku di sekitar kawasan pergunungan berkenaan yang sejak 12 Januari lalu menghamburkan debu panas.
Untuk letusan yang seterusnya, gunung berapi itu dibimbangi menghamburkan lebih daripada sekadar debu.
Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), Renato Solidum, berkata, selain berlakunya peningkatan pengeluaran gas, difahamkan terdapat penambahan magma di dasarnya.
“Jika ia mampu sampai ke kawasan kawah gunung berapi, dibimbangi akan berlaku satu letusan yang kuat,” katanya kepada DZMM Radio.
Dalam pada itu, pihak berkuasa sudah menetapkan kawasan zon larangan dalam lingkungan 14 kilometer di sekeliling gunung berapi.
Ia sebagai persediaan sekiranya berlaku letusan yang berpotensi mengakibatkan hujan batu dan risiko tsunami.
Sebagai rekod, gunung berapi Taal sudah meletus dengan menghamburkan lahar lebih 30 kali dalam tempoh lima kurun lalu dan terakhir pada tahun 1977.
Filipina berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api’ iaitu rangkaian gunung berapi melingkari Lautan Pasifik, yang turut menghadapi risiko gempa bumi yang tinggi.