Gunung berapi Semeru: Indonesia keluar amaran tahap tertinggi, penduduk mula dipindah
Agensi
Disember 4, 2022 19:08 MYT
Disember 4, 2022 19:08 MYT
JAWA TIMUR: Indonesia telah mengeluarkan amaran tahap tertinggi selepas gunung berapi Semeru di pulau Jawa meletus pada Ahad, lapor Kompas TV.
Gunung berapi Semeru meletus awal pagi Ahad dan memuntahkan abu setinggi 1.5 kilometer ke udara, mendorong pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi kawasan letusan.
Pentadbir wilayah, Thoriqul Haq, memberitahu Kompas bahawa proses pemindahan penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi di wilayah Jawa Timur itu telah pun bermula.
Pemindahan penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas, yang tinggal berhampiran juga telah bermula dengan 93 penduduk setakat ini dipindahkan ke pusat perlindungan, kata agensi mitigasi bencana Indonesia, BNPB dalam satu kenyataan.
BNPB telah memberi amaran kepada penduduk supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam jarak 5 kilometer dari pusat letusan atau 500 meter dari tebing sungai kerana risiko aliran lahar.
Agensi Meteorologi Jepun berkata mereka sedang memantau kemungkinan berlaku tsunami di sana susulan letusan itu, lapor agensi media NHK.
Gunung berapi itu mula meletus pada jam 2.46 pagi, kata BNPB dalam satu kenyataan. Video yang dimuat naik pengguna ke media sosial menunjukkan awan kelabu memenuhi kawasan berhampiran.
Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG) menaikkan tahap aktiviti gunung berapi kepada IV daripada III.
Tahap ancaman yang meningkat bermakna bahaya kini mengancam penempatan penduduk dan aktiviti gunung berapi telah meningkat," kata Ketua PVMBG, Hendra Gunawan kepada Kompas TV.
Tambahnya, agensi itu melihat potensi magma yang lebih besar tahun ini berbanding letusan sebelumnya pada 2021 dan 2020.
“Oleh itu awan panas Semeru boleh menjangkau lebih jauh (tahun ini) yang menempatkan banyak kediaman,” katanya.
Dengan 142 gunung berapi, Indonesia mempunyai populasi terbesar penduduk yang tinggal berdekatan dengan gunung berapi, termasuk 8.6 juta yang berada dalam jarak 10 kilometer.