Gunung berapi New Zealand meletus, 20 dikhuatiri cedera
Agensi
Disember 9, 2019 11:37 MYT
Disember 9, 2019 11:37 MYT
SEKURANG-kurangnya 20 orang dikhuatiri cedera apabila gunung berapi White Island di New Zealand meletus pada Isnin.
Menurut kenyataan daripada perdana menteri Jacinda Ardern, dipercayai sekitar 100 orang di mana majoritinya pelancong berada di pulau tersebut ketika kejadian.
Namun jumlah sebenar yang terlibat masih belum dapat dipastikan.
Menurut laporan media tempatan, letusan gunung berapi di pulau yang juga dikenali sebagai Whakaari itu berlaku sekitar jam 2.15 petang.
Menurut pakar volkanologi, Brad Scott yang ditemu bual stesen radio tempatan, letusan itu dilihat mampu memberikan kesan signifikan kepada kawasan sekitar.
“Letusan itu menyaksikan daya letupan yang besar serta memberi impak signifikan kepada pulau dan kawasan utama lantai kawah.
“Bagaimanapun, pulau itu kurang tempat perlindungan... sesiapa yang berada di pulau itu pasti terdedah.”
Operasi menyelamat sedang giat dijalankan sementara amaran Tahap 4 dikeluarkan bagi kawasan terbabit oleh pihak berkuasa.
Pihak polis telah menutup jalan berdekatan dengan kawasan perairan manakala agensi cuaca MetService menyarankan komuniti penerbangan supaya mengelak melalui ruang udara di situ.
Agensi pelancongan membenarkan seramai 10,000 pengunjung ke gunung berapi itu setiap tahun.
White Island pernah meletus pada 2016, namun hanya buat seketika dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.