Gunung berapi meletus di Guatemala, sekurang-kurangnya tujuh terbunuh
Agensi
Jun 4, 2018 10:47 MYT
Jun 4, 2018 10:47 MYT
Sekurang-kurangnya tujuh termasuk tiga kanak-kanak terbunuh, manakala hampir 300 cedera, susulan letusan gunung berapi Fuego di Guatemala pada Ahad.
Menurut pihak berkuasa, kejadian itu, yang menyaksikan mayat mangsa yang rentung terbaring bertaburan, dianggap paling ganas berlaku dalam masa lebih empat dekad.
Gunung berapi Fuego, yang membawa maksud 'api' dalam Bahasa Sepanyol, mengeluarkan asap hitam ke udara dan memuntahkan lahar panas sepanjang 8km yang mengalir ke bandar dan kampung di negara itu termasuk ibu negaranya, Guatemala City.
"Ia seperti sungai lahar yang melimpahi tebingnya dan menjejaskan kampung El Rodeo.
"Terdapat penduduk yang cedera, terbakar dan maut," kata ketua setiausaha agensi pengurusan bencana negara (CONRED), Sergio Cabanas, dipetik berkata stesen radio tempatan.
"Kami dapat sahkan seramai tujuh terbunuh, empat daripadanya dewasa, tiga kanak-kanak," kata Mario Cruz, jurucakap pasukan sukarelawan bomba.
Cabanas berkata, salah seorang yang terbunuh adalah petugas CONRED.
Tambahnya, setakat ini, kira-kira 3,100 orang telah dipindahkan dari kediaman masing-masing susulan kejadian itu.