Gunung berapi Mayon meletus, 18,000 penduduk terjejas
Astro Awani
Jun 14, 2023 07:40 MYT
Jun 14, 2023 07:40 MYT
LETUSAN gunung berapi Mayon di Filipina menyebabkan 18,000 penduduk tempatan terjejas.
Mereka terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat untuk beberapa bulan seterusnya kerana kesan letusan dijangka akan berlarutan dalam tempoh yang lama.
Gunung berapi Mayon terletak di wilayah Albay di timur laut yang dihuni rata-rata komuniti desa.
Kawasan penempatan penduduk berjarak 6 kilometer dari kawasan kawah gunung berapi tersebut.
Tahap aktif gunung berapi Mayon diklasifikasikan di tahap peringatan ketiga.
Kerajaan Filipina juga menjangkakan satu lagi letupan dahsyat bakal berlaku dalam beberapa minggu mendatang.
Dalam pada itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr mengarahkan bantuan kecemasan dan perlindungan disalurkan kepada penduduk terjejas.
Gunung berapi setinggi 2,462 meter (bersamaan 8,077 kaki) ini adalah salah satu pusat pelancongan terkenal di Filipina namun merupakan gunung berapi paling aktif di antara 24 gunung berapi yang diketahui di negara tersebut.
Gunung ini terakhir meletus pada tahun 2018, mengakibatkan puluhan ribu individu terjejas.