Gunung berapi Lewotobi Indonesia: 124 Rakyat Malaysia lapor keberadaan di Labuan Bajo

Bernama
November 13, 2024 23:40 MYT
Seramai 124 rakyat Malaysia telah melaporkan keberadaan di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur setakat Rabu, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. - Gambar fail/AP
JAKARTA: Seramai 124 rakyat Malaysia telah melaporkan keberadaan di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur setakat Rabu, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Daripada jumlah itu, 53 orang meninggalkan Labuan Bajo dengan menaiki pengangkutan laut susulan penutupan sementara ruang udara ekoran letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores.
"Warganegara Malaysia yang terkesan dimohon untuk mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan serta status penerbangan dari semasa ke semasa," menurut kedutaan dalam satu kenyataan.
Kepulan asap dan abu daripada letusan gunung berapi telah menyebabkan pembatalan sejumlah penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zainuddin Abdul Madjid, Lombok dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Bali.
Bagi nasihat serta bantuan konsular di Bali, rakyat Malaysia yang terkandas boleh menghubungi Drs. Panudiana Kuhn, Konsul Kehormat Malaysia Bali di talian Tel:+623 6175 1953 atau e-mel: panudiana.kuhn@gmail.com.
Kedutaan turut menasihatkan mereka untuk mengikuti perkembangan terkini dan merancang perjalanan khususnya di lokasi yang terkesan.
-- BERNAMA
#gunung berapi #Lewotobi Indonesia #rakyat Malaysia #Labuan Bajo
;