Gunung berapi La Palma terus memuntahkan lahar

Astro Awani
Disember 12, 2021 05:01 MYT
Abu gunung berapi dilihat meliputi jalan dan rumah di Kampung Las Manchas sementara gunung berapi La Palma terus memuntahkan lahar dan abu hitam. - Foto AP
LA PALMA: Gunung berapi di Kepulauan La Palma, Sepanyol terus memuntahkan lahar pada Ahad, 85 hari selepas ia pertama kali tercetus.
Sejak daripada itu, ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka serta menyebabkan kerugian jutaan euro terutamanya pada sektor pelancongan dan pertanian.
Letusan tersebut merupakan yang paling lama sejak catatan rekod dimulakan di pulau itu, iaitu dari abad ke-16.
Pegawai Unit Tentera Kecemasan (UME) bekerja keras pada Ahad membuang abu gunung berapi pada atap rumah penduduk bagi mengelakkannya daripada runtuh.
Namun di sebalik kemusnahan itu, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan akibat letusan gunung berapi itu.
Kawasan paling teruk terjejas adalah di bahagian barat daya pulau berkenaan, yang diliputi tanah pertanian.
Kepulauan Canary, kawasan popular dengan pelancong di Eropah, terletak di kawasan barat laut Afrika.
#gunung berapi #La Palma #lahar #abu
;