Gunung berapi Ile Lewotolok hambur gas beracun dan lahar, ribuan penduduk dipindahkan
Agensi
November 30, 2020 19:26 MYT
November 30, 2020 19:26 MYT
JAKARTA: Sebuah gunung berapi di Nusa Tenggara Timur, Indonesia yang menghamburkan debu panas setinggi 4 kilometer sejak Ahad meresahkan penduduk setempat yang bimbang akan nasib keselamatan mereka, lapor agensi mitigasi bencana republik itu.
Reuters melaporkan, Gunung Ile Lewotolok yang menunjukkan tanda-tanda awal keaktifan itu memaksa hampir 3,000 penduduk mencari perlindungan.
Pada Ahad (29 November) sahaja, sudah enam kali gegaran direkodkan, sekali gus membawa kesan rantaian kepada corak letusan gunung itu.
Indonesia memiliki hampir 130 gunung berapi aktif, lebih banyak daripada negara-negara lain. Apabila sesebuah gunung berapi menunjukkan isyarat aktiviti yang tinggi, letusan besar berkemungkinan terjadi selepas beberapa minggu atau bulan.
Jurucakap agensi pengurusan bencana itu, Raditya Jati, dalam satu kenyataan berkata letusan Gunung Ile Lewotolok yang terletak sejauh 2,600 kilometer di timur Jakarta, telah mencetuskan panik berterusan kepada penduduk di sekitar radiusnya.
Kira-kira 2,780 orang dari 26 buah kampung telah berpindah untuk mendapatkan perlindungan, namun sehingga kini tiada kes mati dilaporkan.
Muhammad Ilham, 17, yang menyaksikan letusan awal itu, memberitahu bahawa penduduk berdekatan sangat cemas untuk mencari perlindungan dan amat terdesak mengharapkan bantuan kewangan.
Laman web Pusat Mitigasi Bencana Volkanologi dan Geologi Indonesia menyatakan kawasan di sekeliling lokasi gunung berapi itu kini diselubungi awan panas, aliran lahar dan gas beracun.
Puncak gunung itu juga seringkali menunjukkan percikan lahar merah hingga begitu jelas kelihatan pada waktu malam gelap.
Ketua pusat berkenaan, Kasbani, memberitahu, status gunung berapi itu telah dinaikkan ke tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran tempatan, iaitu membawa peringatan 'ancaman yang meningkat'.
Hanya terdapat tiga buah gunung berapi yang sampai ke tahap itu di Indonesia, kata agensi itu. Ia termasuk Gunung Merapi di Pulau Jawa dan Gunung Sinabung di Sumatera, yang baru-baru ini sudah meletus.