Gunung berapi di timur Indonesia meletus, muntahkan debu dan asap

Bernama
September 25, 2023 17:18 MYT
Gunung Ibu yang terletak di Pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, memuntahkan abu dari arah utara ke timur, menurut Badan Geologi Indonesia. -Gambar hiasan
JAKARTA: Gunung berapi Ibu di timur Indonesia meletus pada Isnin, memuntahkan abu 1,500 meter dari atas puncak dan memaksa penduduk berhampiran memakai pelitup muka dan cermin mata, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pegawai.
Gunung Ibu yang terletak di Pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, memuntahkan abu dari arah utara ke timur, menurut Badan Geologi Indonesia.
Letusan itu berlangsung selama 96 saat.
Agensi itu menggesa orang ramai yang tinggal di sekitar gunung berapi serta pelawat supaya berada di luar radius dua kilometer (km) dari kawah dan zon 3.5 km di utara, selain menasihatkan orang ramai supaya melindungi mata, hidung dan mulut daripada abu jika berlaku hujan.
Gunung Ibu adalah antara kira-kira 130 gunung berapi aktif di Indonesia, sebuah kepulauan luas yang terdedah kepada pergolakan seismik berdasarkan lokasinya dalam "Ring of Fire" Pasifik.
-- BERNAMA
#gunung berapi #Gunung Ibu #Pulau Halmahera #Maluku Utara
;