Gunung Agung: Amaran ditarik balik, Bali selamat dikunjungi - Jokowi
Agensi
Disember 23, 2017 18:20 MYT
Disember 23, 2017 18:20 MYT
Kerajaan Indonesia hari ini mengeluarkan kenyataan menarik balik perintah berjaga-jaga berhubung kemungkinan berlaku letusan Gunung Agung di Bali.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung berkata perintah berjaga-jaga di wilayah itu hanya dikuatkuasakan sekitar 10 kilometer dari kawah gunung berapi berkenaan.
"Presiden Joko Widodo telah membuat keputusan menarik balik perintah tersebut.
"Presiden berkata Bali kini bersedia menerima pelancong seperti sedia kala," jelasnya selepas menghadiri mesyuarat tertutup berhubung Gunung Agung di Denpasar pada Sabtu.
Sebelum ini banyak negara dunia mengeluarkan amaran berkunjung ke pusat pelancongan tersebut susulan kemungkinan gunung berapi itu meletus.
Awal bulan ini, Gunung Agung didakwa bakal meletus pada bila-bila masa apabila mengeluarkan asap tebal setinggi empat kilometer ke udara dengan lahar melimpah ke sungai-sungai berdekatan.
Susulan itu, dua lapangan terbang antarabangsa utama di Denpasar dan Lombok ditutup dan keadaan ini telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan pelancong dan penduduk setempat.