Gunting rambut percuma, penghargaan buat petugas barisan hadapan

Agensi
Mei 1, 2020 20:19 MYT
Pornsupa dan pasukannya tetap mengutamakan langkah-langkah keselamatan dengan memakai pakaian perlindungan diri, PPE, sarung tangan, dan penutup hidung dan mulut
Pelbagai cara boleh dizahirkan bagi memberi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sedang 'berperang' melawan wabak COVID-19 ketika ini.
Di Thailand, seorang pendandan rambut membangkitkan semangat kepada petugas kesihatan di Bangkok dengan memberikan perkhidmatan memotong rambut secara percuma di hospital kepada mereka.
Keprihatinan Pornsupa Hattayong itu disambut dengan penuh keterujaan barisan petugas hospital berkenaan.
Namun baginya, sumbangan yang diberikan adalah terlalu kecil berbanding pengorbanan yang dilakukan para petugas barisan hadapan tersebut.
“Para doktor sangat gembira dapat memotong rambut.
"Saya rasa mereka berasa lebih lega dan santai. Saya percaya mereka semua mahu melakukan sesuatu dengan rambut mereka hingga mudah diurusan dan senang untuk bertugas,” ujarnya.
Meskipun demikian, Pornsupa dan pasukannya tetap mengutamakan langkah-langkah keselamatan diri dengan memakai pakaian perlindungan diri, PPE, sarung tangan,penutup hidung dan mulut.
Setiap kali lawatan, Pornsupa dan pasukan dianggarkan berjaya menguruskan sekitar 50 pelanggan.
Bagi Pornsupa, walaupun terdapat sedikit kekangan dari segi pergerakan, ia tidak mendatangkan masalah buatnya, asalkan keselamatan terjaga.
Setiap Khamis, Hospital Besar Pentadbiran Metropolitan Bangkok akan menjadi destinasi pasukannya dan ini merupakan hospital keempat di ibu kota Thailand untuk Pornsupa menjalankan tugas.
Dia memulakan perkhidmatan percuma itu sejak akhir bulan Mac lalu dan semua hospital yang terlibat adalah pusat rawatan khusus untuk rawatan pesakit COVID-19.
#Bangkok #barisan hadapan #coronavirus #COVID-19 #Hospital #keselamatan #kesihatan #koronavirus #potong rambut #salon #Thailand
;