Guna zon industri Kaesong, Seoul ancam ambil tindakan ke atas Pyongyang
Bernama
April 6, 2023 19:14 MYT
April 6, 2023 19:14 MYT
MOSCOW: Seoul akan mengambil langkah perlu jika Pyongyang terus menggunakan kilangnya di zon perindustrian bersama yang kini ditutup, di bandar Kaesong di selatan Korea Utara yang didakwa digunakan tanpa kebenaran, lapor Agensi Berita Yonhap pada Khamis.
"Pengoperasian kilang-kilang Korea Utara di kompleks itu tanpa kebenaran merupakan pencabulan jelas hak ahli perniagaan Korea Selatan terhadap harta dan perjanjian berkaitan antara Korea. Korea Utara perlu segera menghentikan operasinya.
"Jika Utara tidak mematuhinya, kerajaan akan mengambil langkah perlu kerana Korea Utara mengakui menggunakan kompleks itu tanpa kebenaran," kata seorang pegawai Kementerian Perpaduan Korea Selatan kepada pemberita.
Wilayah Perindustrian Kaesong ialah wilayah pentadbiran khas di Korea Utara yang beroperasi pada 2004-2016 sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi bersama Korea Selatan. Taman ini terletak enam batu di utara Zon Demiliterisasi Korea serta mempunyai akses jalan raya dan kereta api terus ke Korea Selatan.
Syarikat Korea Selatan dapat menggaji tenaga kerja yang murah dan mahir di zon operasi perindustrian, manakala Korea Utara menerima mata wang asing yang dibayar terus sebagai gaji pekerja kepada kerajaan negara itu.
Pada 2013, Korea Utara menyekat akses ke kawasan itu kepada semua warga Korea Selatan dan mengeluarkan kesemua 53,000 pekerja Korea Utara dari taman perindustrian Kaesong.
Pada Februari 2016, Kementerian Penyatuan Korea Selatan mengumumkan bahawa taman itu telah menggantung operasinya buat sementara waktu disebabkan antara lain ujian nuklear dan peluru berpandu jarak jauh Pyongyang.
-- BERNAMA