AS guna kuasa veto, gagalkan resolusi desak gencatan senjata

Astro Awani
Disember 9, 2023 08:20 MYT
Draf resolusi tersebut dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendapat sokongan 97 negara lain. - Foto REUTERS
NEW YORK: Usaha untuk menamatkan keganasan Israel ke atas Gaza sekali lagi menemui kegagalan.
Ini selepas Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi bagi mendesak gencatan kemanusiaan di Gaza, yang dikemukakan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sekutunya, United Kingdom (UK) mengundi untuk berkecuali sementara 13 anggota lain menyokong.
Pengundian resolusi berlangsung pada jam 5.30 petang waktu tempatan New York.
Draf resolusi tersebut dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mendapat sokongan 97 negara lain.
AS mempertahankan tindakannya memveto resolusi tersebut dengan menggunakan alasan resolusi berkenaan tidak seimbang dan jauh dari realiti.
AS turut mendakwa teks digunakan tidak menterjemah apa yang diinginkan mereka, termasuk kecaman terhadap serangan dilancarkan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Washington turut mengulangi desakan penubuhan dua negara sebagai penyelesaian muktamad konflik di rantau itu.
Sementara UK senada dengan AS dan mempertahankan tidak akan menyokong resolusi yang tidak mengecam aktiviti Hamas.
Tindakan veto AS dikecam China dan Rusia.
Beijing menuduh AS sebagai mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan tindakan, sementara Rusia menyifatkan Washington sebagai tidak berhati perut.
Sementara wakil tetap Palestin ke PBB pula menyifatkan kegagalan resolusi ini sebagai satu kegagalan majlis keselamatan memegang tanggungjawab ke atas penduduk Palestin.
#draf resolusi #PBB #AS #Gaza
;