Guna dron bawah air selamatkan 10 pelombong terperangkap

Sinar Harian
Ogos 9, 2022 10:40 MYT
Seramai 10 pelombong arang batu terperangkap di bawah tanah yang ditenggelami air di negeri Coahuila, Mexico, sejak Rabu lalu. - Foto REUTERS
BANDAR RAYA MEXICO: Pasukan penyelamat akan menggunakan dron bawah air sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan 10 pekerja setelah mereka terperangkap selama lima hari dalam lombong arang batu bawah tanah yang ditenggelami air di utara Mexico sejak Rabu lalu, kata pihak berkuasa pada Isnin.
Dron yang disediakan oleh tentera laut itu mempunyai kamera resolusi tinggi dan cahaya untuk mengenal pasti halangan tanpa membahayakan nyawa, kata Penyelaras Kebangsaan Pertahanan Awam, Laura Velazquez.
Kerja-kerja mengepam air dari lombong di Agujita di negeri utara Coahuila dilakukan untuk memastikan ia cukup selamat untuk para anggota penyelamat masuk ke dalamnya.
Tentera berharap anggota penyelamat akan dapat memasuki salah satu lubang pada pertengahan minggu ini jika paras air turun kepada 1.5 meter.
"Kami segera untuk mengalihkan air supaya anggota penyelamat boleh memasukinya," kata Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador seperti dilaporkan AFP.
Beliau melawat tapak itu pada Ahad dan menggesa usaha lebih besar dilakukan untuk menyelamatkan pelombong-pelombong tersebut.
Kira-kira 300 liter air dipam keluar pada setiap saat, katanya kepada pemberita di Bandar Raya Mexico.
Pihak berkuasa berkata, para pelombong telah menjalankan kerja-kerja penggalian di lombong tersebut di kawasan bersebelahan yang dipenuhi air.
Lima pekerja berjaya menyelamatkan diri selepas lombong tersebut dibanjiri air akibat kerja-kerja itu pada Rabu lalu. - Sinar Harian/Agensi
#lombong arang batu #Mexico #pelombong terperangkap #dron bawah air
;