'Guna apa cara sekalipun untuk hapus COVID-19' - Jokowi

Agensi
Mei 6, 2020 22:38 MYT
Semua menteri kabinet Indonesia diarah menggunakan apa sahaja cara bagi memastikan kes jangkitan COVID-19 di negara itu menurun bulan ini dan mencatat kes terendah bermula Julai - Presiden Indonesia
Semua menteri kabinet Indonesia diarah menggunakan apa sahaja cara bagi memastikan kes jangkitan COVID-19 di negara itu menurun bulan ini serta mencatat kes terendah bermula Julai.
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) yang mempengerusikan mesyuarat kabinet meminta menteri mengerah segala usaha untuk memerangi wabak berkenaan.
"Saya meminta anda menggunakan seluruh tenaga anda dan menumpukan perhatian pada usaha untuk mengawal COVID-19 dan kesannya," katanya seperti yang dipetik portal berita Channel News Asia.
Beliau juga mengarahkan menteri supaya memastikan rangsangan ekonomi disalurkan kepada sektor yang paling teruk terjejas, berdasarkan kepada prestasi suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada Rabu, Indonesia mencatatkan kenaikan kes harian dengan 367 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 12,438 kes.
BACA: Kes COVID-19 di Indonesia 12,438 kes, kematian 895
Kementerian Kesihatan Indonesia juga melaporkan 23 lagi kematian, menjadikan jumlah kematian 895 orang kes.
Ekonomi Indonesia tumbuh di tahap paling lemah sejak tahun 2001 pada suku pertama, ketika wabak itu menutup aktiviti perniagaan ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang diramal bakal mengalami kemelesetan.
Data Biro Statistik menunjukkan, produk domestik kasar pada Januari-Mac berkembang 2.97 peratus, lebih rendah dari yang dijangkakan pada tahun sebelumnya, menjadikannya kadar paling lemah sejak suku pertama tahun 2001, iaitu turun daripada 4.97 peratus pada suku sebelumnya.
#COVID-19 #Indonesia #Joko Widodo #Jokowi #kes baharu #menteri Kabinet #Presiden Indonesia
;