Guna anak patung Doraemon untuk upacara panggil hujan
Sinar Harian
Mei 4, 2024 09:00 MYT
Mei 4, 2024 09:00 MYT
BANGKOK: Sebuah komuniti di Thailand menjadi tular, gara-gara menggunakan anak patung watak animasi Jepun, Doraemon menggantikan kucing hidup untuk upacara tradisional memanggil hujan.
Anak patung Doraemon itu turut diarak ke sekitar jalan utama di Khao Khala selepas kawasan tersebut berdepan kemarau berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, upacara itu digelar 'Hae Nang Meaw' atau perarakan kucing oleh masyarakat setempat dan ia biasanya dilakukan golongan petani.
Adat unik itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas ia dikongsi penyelidik, Dr Tarin Clanuwat dari Waseda University di platform X.
Sehingga Khamis, ciapan itu telah mendapat lebih 16 juta tontonan, 219,000 tanda suka dan lebih 39,000 siar semula.
Sepanjang bulan lalu, Thailand berdepan gelombang haba luar biasa dengan lebih 30 daerah di seluruh 77 wilayah berdepan suhu panas ekstrem.
Menurut data Jabatan Meteorologi, suhu di negara itu telah melepasi 40 darjah Celsius di 26 provinsi pada bulan April. - Sinar Harian memetik agensi