Guna agen saraf, tuduhan May tidak berasas - Putin

Agensi
Mac 19, 2018 12:43 MYT
Putin berkata pentadbirannya kini bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan dan kerjasama dengan pentadbiran Perdana Menteri Britain Theresa May jika diperlukan.
Rusia menolak dakwaan yang menyatakan wujud komplot di Rusia dalam kejadian serangan agen saraf terhadap bekas perisiknya, Sergei Skripal.
Dalam kenyataan pertama berhubung kes terbabit, Presiden Vladimir Putin berkata tuduhan terbabit sebagai tidak masuk akal.
Menurut Putin, Skripal dan anak perempuannya Yulia pasti menemui ajal serta-merta, sekiranya benar racun yang digunakan adalah jenis agen saraf.
"Satu perkara yang pasti adalah jika ia adalah racun sebenar, mereka pastinya sudah meninggal dunia.
"Dan mereka tidak akan sempat dirawat di hospital," jelasnya.
Menurut Putin lagi, Rusia telah mematuhi undang-undang antarabangsa senjata kimia dengan memusnahkan semua komponen berkaitan senjata terbabit.
"Seperkara lagi Rusia tidak pernah memiliki sebarang racun seumpama yang telah digunakan.
"Kami adalah negara dunia pertama yang mematuhi undang-undang antarabangsa senjata kimia. Ia adalah satu yang sangat tidak masuk akal untuk sesiapa sahaja dari Rusia yang mahu melakukan perkara tersebut.
"Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya presiden dan penganjuran Piala Dunia 2018 Ogos nanti," tambahya.
Mengulas lanjut Putin berkata pentadbirannya kini bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan dan kerjasama dengan pentadbiran Perdana Menteri Britain Theresa May jika diperlukan.
Pada Ahad May memberi amaran bahawa Britain tidak akan bertolak ansur dengan ancaman kepada kehidupan rakyat Britain dan orang lain di tanah British dari kerajaan Rusia.
May menyalahkan Rusia atas serangan agen saraf terbabit yang didakwa dilakukan pada 4 Mac lalu ke atas bekas perisik Rusia Sergei Skripal, 66 tahun, dan anak perempuannya, Yulia Skripal, 33 tahun, yang kini sakit tenat di hospital.
#anak #Britain #British #Hospital #kerajaan #meninggal dunia #Perdana Menteri #Piala Dunia #pilihan raya #presiden #rakyat #Rusia #serangan #Theresa May #undang-undang #Vladimir Putin
;