Gulungan ombak 6 meter selepas letusan Gunung Anak Krakatau - Bupati Pandeglang
Hamzah Hamid
Disember 23, 2018 21:07 MYT
Disember 23, 2018 21:07 MYT
Tsunami di Selat Sunda yang melanda pesisiran pantai paling barat Pulau Jawa, iaitu di Banten, datang tanpa amaran awal diberikan, namun penduduk tempatan memberitahu mereka telah melihat tanda-tanda pada Gunung Anak Krakatau.
“Masyarakat kami melihat ada letusan sedikit pada Gunung (Anak) Krakatau. Ada para pelancong yang melihat ‘mulut’ gunung berapi itu berwarna merah.
“Tidak berapa lama kemudian, ada air yang tingginya 2 meter, dan seterusnya disusuli gulungan ombak yang lebih tinggi iaitu kira-kira 5 atau 6 meter,” ujar Bupati atau Ketua Wilayah Pandeglang, Irna Narulita, ketika dihubungi Astro AWANI.
Pandeglang merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana tsunami tersebut.
Tambahnya, hentaman tsunami itu telah mengakibatkan kemusnahan pada bangunan kediaman, perniagaan dan hotel yang terdapat di sepanjang kawasan pantai, sekali gus mencederakan penduduk tempatan dan juga pelancong.
Irna menjelaskan, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa korban dan yang cedera memandangkan kerja-kerja menyelamat dan pemindahan masih dijalankan.
Bagaimanapun, Irna tidak menafikan jumlah korban dan yang cedera terus meningkat.
“Proses mencari dan menyelamat serta pemindahan masih dijalankan memandangkan masih banyak mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Belum semuanya dapat kami pindahkan kerana keadaan hujan,” ujarnya.
Sehingga kini, menurut Irna, antara pihak yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa ialah pasukan polis, pasukan yang digerakkan pemerintah pusat dan pemerintah wilayah, anggota sukarelawan dan juga masyarakat umum.
Sementara itu, Irna turut mengharapkan kerjasama erat antara Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), pihak berkuasa tempatan dan polis supaya maklumat mengenai situasi bencana.
Itu termasuk cara menangani khabar angin, khususnya mengenai gelombang kedua tsunami.
“Itu (adalah untuk) membolehkan masyarakat kami lebih tenang dan tidak cemas dengan berita-berita palsu,” katanya.
#Anyer
#Banten
#bencana alam
#bupati pandeglang
#Indonesia
#irna narulita
#korban tsunami
#mangsa
#Pandeglang
#Selat Sunda
#tsunami