Gujarat siap sedia hadapi siklon Biparjoy, 8,000 orang dipindahkan

Bernama
Jun 13, 2023 20:31 MYT
Pemindahan dilakukan dari kawasan dalam jarak 10 kilometer (km) dari pantai di daerah Kutch dan Saurashtra di Gujarat. - Reuters
NEW DELHI: Pihak berkuasa India pada Selasa berkata sekurang-kurangnya 8,000 orang telah dipindahkan dari pantai Gujerat di India ke lokasi yang lebih selamat susulan siklon Biparjoy.
Pemindahan dilakukan dari kawasan dalam jarak 10 kilometer (km) dari pantai di daerah Kutch dan Saurashtra di Gujarat.
"Sehingga kini, 8,000 orang telah dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat di Kutch," Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Persekutuan India Mansukh Mandviya
Selain itu, 150,000 hingga 200,000 haiwan kecil dan besar turut dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi.
Mandviya berada di Kutch Gujerat untuk memantau persediaan.
Menurutnya semua agensi persekutuan dan kerajaan tempatan, Tentera Udara, laut, pengawal pantai dan pihak berkuasa pengurusan bencana kini bekerjasama untuk meminimumkan kesan siklon.
"Aktiviti di pelabuhan terbesar negara di Kandla digantung dan pekerja di sana telah dipindahkan dan semua kapal di pelabuhan Kandla dan pantai Saurashtra telah berlabuh untuk mengelak daripada terperangkap," katanya.
Perdana Menteri India Narendra Modi pada hari Isnin mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi untuk mengkaji kesiapsiagaan rasmi menghadapi Biparjoy.
Jabatan Meteorologi India (IMD) telah mengeluarkan amaran ke atas kawasan pantai Saurashtra dan Kutch.
Menurut IMD, Kutch, Devbhumi Dwarka, Porbandar, Jamnagar, Junagarh dan Rajkot berkemungkinan terjejas oleh taufan dengan hujan lebat dan kelajuan angin kencang, yang mungkin mencecah sehingga 150 kmsj dari Selasa hingga Khamis.
Nelayan diminta menghentikan aktiviti menangkap ikan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Indian Railways pada Selasa turut mengumumkan ia telah menamatkan atau membatalkan perkhidmatan 79 tren di kawasan yang terdedah kepada siklon.
-- BERNAMA
#bencana alam #siklon #biparjoy #India #Gujerat
;