Guinea isytihar penularan pandemik Ebola
Astro Awani
Februari 14, 2021 04:58 MYT
Februari 14, 2021 04:58 MYT
GUINEA: Ketika dunia sedang bergelut dengan COVID-19, Guinea mengisytiharkan penularan pandemik Ebola di negara itu pada Ahad.
Menurut Pegawai Kesihatan Awamnya, ketika ini tujuh kes dengan empat kematian dilaporkan berlaku.
Untuk rekod, penularan pertama Ebola di Afrika berlaku pada tahun 2014 hingga 2016.
Ia menyaksikan kematian lebih 11,300 orang akibat pandemik berkenaan pada ketika itu dengan kes bermula di sebuah perkampungan di Guinea dan merebak ke Liberia dan seterusnya Sierra Leone.
Susulan itu, pihak kesihatan awam Guinea sedang melakukan pengesanan kontak dan pengasingan ke atas mereka yang dijangkiti Ebola.
Vaksin Ebola dijangka akan diperoleh seawal minggu ini dan diedarkan di Nzerekore, lokasi terbaharu pandemik dikesan.
Pihak berkuasa dalam pada itu berkata, upacara pengebumian seorang jururawat pada 1 Februari lalu menjadi antara punca perebakan virus Ebola di negara Afrika itu.
Ia berikutan tujuh individu yang menghadiri upacara berkenaan menunjukkan simptom seperti cirit-birit, muntah dan mengalami pendarahan.
Tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, kerajaan menggesa mana-mana individu yang mempunyai simptom sama agar segera berjumpa doktor.
Mereka kemudian akan dirawat dan diasingkan dalam tempoh enam minggu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pada itu meminta tindakan segera dilakukan terhadap ancaman Ebola di Guinea.