Gudang peluru tentera di Jawa Barat terbakar
Bernama
Mac 30, 2024 06:30 MYT
Mac 30, 2024 06:30 MYT
JAKARTA: Sebuah gudang penyimpanan peluru milik tentera di Bogor, Jawa Barat dilaporkan meletup dan terbakar pada Sabtu, 7.05 malam waktu tempatan, menurut Tentera Darat Indonesia (TNI AD).
Jurucakapnya Brig Jen Kristomei Sianturi berkata gudang milik Komando Daerah Tentera Jayakarta (Kodam Jaya) itu terletak di kawasan Gunung Putri, Daerah Bogor, bersempadan dengan Bekasi.
"Saat ini masih terus terjadi kebakaran dan letupan kecil," katanya dipetik portal berita Detiknews.
Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk pemindahan penduduk di sekitar gudang, dan pengendalian kebakaran.
"Analisis awal mendapati punca kejadian disebabkan bahan peluru yang telah tamat tempoh disimpan di bunker dan telah dijadualkan dilupuskan," kata Panglima Kodam Jaya Mej Jen Mohamad Hasan.
Beliau turut memastikan tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian.
Sejumlah jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan kerja pemadaman akan dilakukan apabila letupan reda untuk mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk berhampiran panik mencari perlindungan di dalam rumah ketika siri letupan terjadi.
-- BERNAMA