GSA sedia mulakan peralihan kuasa kepada Biden secara rasmi

Isabelle Leong
November 24, 2020 01:42 MYT
Emily Murphy (kanan) memberitahu Joe Biden (kiri) mengenai perkara berkenaan menerusi sepucuk surat pada Isnin. (Foto AP)
PENTADBIRAN Perkhidmatan Awam (GSA) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memaklumkan pihaknya sudah bersedia memulakan proses peralihan kuasa kepada bakal Presiden Joe Biden secara rasmi.
Ketua Pentadbir GSA, Emily Murphy memaklumkan mengenai perkara itu menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Biden pada Isnin (23 Nov), lebih dua minggu selepas beliau memenangi pilihan raya presiden yang diadakan pada 3 Nov lalu.
“Saya mengambil serius peranan ini,” kata Murphy dalam suratnya.
Murphy menegaskan dia tidak menerima tekanan dari White House untuk melewat-lewatkan proses peralihan kuasa secara rasmi dan tidak membuat keputusan "kerana takut atau pilih kasih."
"Harap maklum yang saya telah membuat keputusan secara bebas, berdasarkan undang-undang dan fakta sedia ada.
"Saya tidak pernah ditekan secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana pegawai Cawangan Eksekutif - termasuk yang bekerja di White House atau GSA - dari segi masa membuat keputusan.
"Saya ingin jelaskan, saya tidak terima sebarang arahan untuk menangguhkan keputusan saya."
Menerusi keputusan itu, tambahnya, dana persekutuan sebanyak AS$7 juta disediakan kepada Biden untuk peralihannya.
“Peranan Pentadbir GSA di bawah Akta Peralihan Presiden 1963 sangat terhad: menyediakan sumber dan perkhidmatan berkaitan peralihan presiden.
“Disebabkan perkembangan terbaharu melibatkan cabaran undang-undang dan perakuan keputusan pilihan raya, saya memutuskan bahawa anda mempunyai kuasa untuk mengakses sumber dan perkhidmatan pasca pilihan raya seperti yang tertera pada Bahagian 3 akta berkenaan atas permintaan.
“Pemenang sebenar Pilihan Raya Presiden akan ditentukan menerusi proses pemilihan seperti yang diperincikan dalam perlembagaan,” jelasnya.
Langkah berkenaan sekali gus sebagai pengakuan paling jelas berhubung kemenangan Biden mengatasi Presiden Donald Trump.
BACA: Kelewatan peralihan kuasa sukarkan tindak balas terhadap COVID-19 - Pasukan khas Biden
BACA: Biden umum lantikan 6 jawatan penting, beri bayangan pulihkan dasar luar AS
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Peralihan Biden-Harris Yohannes Abraham menyambut baik keputusan Murphy yang memberikan sumber dan sokongan yang diperlukan bagi membolehkan peralihan kuasa yang aman dan lancar.

Statement by Biden-Harris Transition Executive Director Yohannes Abraham. pic.twitter.com/lPflye5iTO

— Biden-Harris Presidential Transition (@Transition46) November 24, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Keputusan hari ini merupakan langkah yang diperlukan sebagai permulaan untuk menangani cabaran yang dihadapi negara, termasuk mengawal wabak dan memastikan ekonomi kami kembali ke landasan yang betul.
"Keputusan akhir ini adalah tindakan pentadbiran yang pasti untuk memulakan proses peralihan secara rasmi dengan agensi persekutuan,” kata Abraham menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter.
Untuk rekod, di bawah undang-undang persekutuan, Ketua GSA memegang kuasa untuk membenarkan penggunaan berjuta-juta dolar yang diperuntukkan untuk perbelanjaan peralihan presiden.
Proses peralihan secara rasmi hanya akan bermula selepas GSA mengesahkan pemenang mutlak Pilihan Raya Presiden.
Pengesahan tersebut tertunda selama ini kerana proses perundangan yang dilancarkan Trump.
Kegagalan pengesahan itu juga menyebabkan Demokrat tidak menerima dana persekutuan bagi proses peralihan, dan akses kepada agensi yang terlibat.
Pada 8 November lalu, Biden diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden AS ke-46.
Beliau dijangka mengangkat sumpah rasmi pada 20 Januari 2021.
BACA: Proses peralihan sudah bermula - Joe Biden
BACA: Siapa Joe Biden? Ini lima fakta ringkas presiden baharu Amerika Syarikat!
#Joe Biden #GSA #Emily Murphy #pilihan raya presiden #Amerika Syarikat #Donald Trump