Grumpy Cat mati dalam pangkuan 'ibu', hilang sudah wajah 'marah-marah'
Isabelle Leong
Mei 18, 2019 08:28 MYT
Mei 18, 2019 08:28 MYT
HARIMAU mati meninggalkan belang, Grumpy Cat mati meninggalkan wajah 'marah-marah' selamanya…
Demikian peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan pemergian kucing yang paling popular di internet kerana mimik mukanya yang ‘marah’ pada usia tujuh tahun.
Tardar Sauce atau lebih mesra disapa Grumpy Cat, mengalami jangkitan kuman pada saluran kencing dan mati pada Selasa lalu.
Berita sedih tersebut disampaikan pemiliknya, Tabatha Bundesen menerusi entri pada laman Twitter Grumpy Cat.
“Kami sungguh sedih untuk memaklumkan pemergian Grumpy Cat.
“Walaupun mendapat penjagaan daripada doktor profesional dan juga keluarga tersayang, Grumpy mengalami komplikasi daripada jangkitan kuman pada saluran kencing dan malangnya, mengambil nyawanya.
“Grumpy mati dalam keadaan yang aman pada pagi Selasa, 14 Mei, dalam pangkuan ibunya, Tabatha,” katanya menerusi muat naik pada Twitter.
Selain membawa kegembiraan kepada keluarga Bundesen, Grumpy Cat juga menghiburkan hati jutaan peminatnya di laman media sosial kerana reaksi wajahnya.
Rata-rata peminatnya menzahirkan rasa sedih di laman media sosial atas kematian bintang internet tersebut.
Grumpy Cat mula menjadi tular pada 2012 susulan gambar ekspresinya yang bengis dan masam disebabkan sindrom dwarfism muncul di Internet.
Gambarnya yang kemudian menjadi 'meme' menambat hati peminat di seluruh dunia.
Grumpy Cat memiliki 1.53 juta pengikut di Twitter dan 2.6 juta pengikut di laman Instagram.
Kucing kegemaran ramai itu kerap muncul di televisyen, termasuk iklan, selain pernah membintangi filem berjudul 'Grumpy Cat's Worst Christmas Ever' sempena sambutan Hari Natal pada 2014.