Greta Thunberg, sembilan remaja lain bakal mendominasi Davos 2020
Faris Danial Razi
Januari 20, 2020 14:53 MYT
Januari 20, 2020 14:53 MYT
PENDAPAT yang mengatakan generasi muda bakal menjadi ‘pemimpin’ dalam masa hadapan barangkali sudah tidak lagi relevan dalam konteks masa kini.
Ini kerana, dunia hari ini sudah menyaksikan transisi kepimpinan di kebanyakan negara diketuai oleh orang muda.
Bahkan, dalam kepimpinan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan, golongan remaja juga sudah mula menjadi ketua.
Berbanding sedekad lalu, dunia hari ini sudah jauh lebih maju ke hadapan dengan generasi muda sudah menghampiri kedudukan setanding pemimpin yang berusia.
Tiada apa yang perlu dihairankan jika anda melihat anak-anak muda hari ini menjadi suara bagi menegakkan keadilan untuk sesuatu perkara dan dilihat menjadi satu platform.
Buat pertama kali dalam sejarah, anak-anak muda akan mendominasi dan menjadi suara bagi Forum Ekonomi Dunia (WEF) Edisi ke-50, Davos 2020 yang mengangkat isu krisis iklim, alam sekitar.
Selain Greta Thunberg, sebenarnya ramai lagi aktivis anak muda ikon dan menjadi tumpuan jutaan orang yang ingin mengubah fikiran pemimpin dunia.
Berikut senarai 10 orang anak muda yang akan berkongsi aspirasi dan pendapat di WEF 2020 yang dipetik dari laman web rasmi WEF:
Autumn Peltier, 15
Gadis kelahiran Kanada yang mempunyai keturunan Anishinaabe-kwe ini telah menjadi pejuang seawal usia lapan tahun lagi.
Dia yang mendapat gelaran ‘pelindung air’ saat dirinya menyedari masyarakat Wikwemikong yang tidak mendapat bekalan air seperti orang lain oleh kerana pencemaran aktiviti perindustrian dan saluran paip minyak.
Pada 2019, Peltier memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Air oleh Anishinabek Nation, yang mewakili 40 Bangsa Pertama di Ontario, yang rata-rata mengalami isu kekurangan air bersih.
Dalam peranannya, dia melawat rizab, bertemu dengan pemimpin-pemimpin dari Anishinabek Nation dan menyuarakan pendapatnya hingga ke peringkat antarabangsa mengenai hak-hak Orang Asli dan kepentingan air.
Ayakha Melithafa, 17
Berasal dari kampung, Eerste River di pinggiran Cape Town, Afrika Selatan, ibunya bekerja sebagai seorang petani di Western Cape yang mengalami masalah kemarau dan kekurangan sumber air sehingga mengancam tanamannya.
Masalah tersebut mendorong Melithafa untuk bertindak sehingga menjadi sebahagian daripada Kerjasama Iklim Afrika dan ‘Projek 90’ oleh Inisiatif 2030,
Melithafa menggerakkan sokongan untuk pembangunan rendah karbon dan peralihan tenaga yang adil di negaranya.
Pada tahun lalu, Melithafa dan 15 lagi kanak-kanak lain di seluruh dunia mengemukakan petisyen kepada Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-kanak untuk memegang lima kuasa ekonomi terkemuka di dunia yang bertanggungjawab untuk tidak mengambil tindakan terhadap krisis iklim.
Cruz Erdmann, 14
Kini berpangkalan di New Zealand, Cruz dilahirkan dan dibesarkan di Bali, Indonesia dan telah menghabiskan banyak masa meneroka Indonesia Timur dengan keluarganya.
Seperti yang lain, Erdmann mempunyai rasa cinta akan alam semulajadi.
Dia juga berterima kasih kepada ibu bapanya, yang bekerja dalam bidang marin.
Aktiviti selam sudah menjadi rutin hariannya dan dia berpengalaman menyelam di lautan melebihi 100 kali sejak usianya 10 tahun dan telah menceburi bidang fotografi dalam air ketika 12 tahun.
Pada 2019, foto sotong ‘Bigfin’ yang dirakamkan oleh Erdmann telah memenangi gelaran ‘Wildlife Young of the Year’ oleh Muzium Sejarah Alam London.
Fionn Ferreira, 18
Ferreira dibesarkan di sebuah pulau terpencil di West Cork, yang terletak di selatan Ireland dan dikatakan telah menghabiskan masa kanak-kanaknya dengan menghasilkan projek-projek sains dan mendayung di sekitar pantai Ireland dengan kayak.
Melalui kesungguhannya dalam melakukan aktiviti luar, Ferreira sering terdedah dah melihat kesan pencemaran mikroplastik ke atas alam sekitar.
Semasa belajar di sekolah menengah, remaja ini mencipta kaedah baharu untuk mengeluarkan mikroplastik dari air menggunakan versi ‘ferrofluid’nya sendiri, cecair yang dihasilkan oleh NASA.
Ferreira memperkenalkan konsep itu di Google Science Fair 2019 dan dia telah melakar kemenangan dalam pertandingan tersebut menerusi kaedah hasil inovasinya mengeluarkan mikroplastik.
Greta Thunberg, 17
Thunberg juga merupakan salah seorang daripada remaja yang semakin menjadi perhatian dunia.
Ketika berumur 8 tahun, Thunberg sering menonton dokumentari di sekolah mengenai sesuatu yang dipanggil perubahan iklim dan sebaik memahami krisis iklim, dia sukar untuk cuba "tidak memahami" isu berkenaan – dan situasi tersebut mengakibatkannya kemurungan.
Bertitik tolak dari situ, Thunberg mengumpul semua maklumat mengenai perubahan iklim dan punca yang mengakibatkan krisis serta mula mengubah tabiatnya sendiri untuk mengurangkan jejak karbonnya.
Pada tahun 2018, dia mula memprotes di luar Parlimen Sweden semasa sesi persekolahan dengan mengusung sepanduk yang bertulis, "Skolstrejk untuk Klimatet" (Gerakan Perubahan Iklim di Sekolah).
Sejak itu, Thunberg terus mengadakan tunjuk perasaan pada setiap hari Jumaat sehingga menjadi inspirasi kepada ratusan ribu kanak-kanak di seluruh dunia untuk mengikuti teladannya.
Melati Wijsen, 19
Melati Wijsen dibesarkan di pulau Bali, yang mana dia berdepan dengan masalah pembuangan sisa plastik.
Mempunyai kisah yang bermula dengan berenang di lautan, apabila dia mengalami peristiwa yang mana sewaktu keluar dari permukaan laut, tangannya sendiri dilitupi dengan beg plastik.
Mempelajari mengenai keperibadian pemimpin dunia yang di pengaruh semasa di sekolah, menjentik keinginan Wijsen untuk mengasaskan gerakan “Selamat Tinggal Beg Plastik" .
Ditemani adik perempuannya, mereka menganjurkan petisyen, kempen peningkatan kesedaran dan pembersihan pantai besar-besaran.
Sejak itu, Bali telah mengumumkan undang-undang mengharamkan penggunaan beg plastik dan untuk itu, dua beradik itu telah dinobat sebagai ‘Remaja Paling Berpengaruh Majalah’ oleh TIME dan ‘Young Wonders’ oleh CNN pada tahun 2018.
Mohamad Al Jounde, 18
Mohamad membesar di Syria, tetapi melarikan diri ke Lubnan apabila kehidupan menjadi terlalu merbahaya buat mereka.
Seperti beribu kanak-kanak pelarian lain di negara ini, peluang remaja ini untuk ke sekolah terjejas menyebabkan dia bersedia untuk menyokong kanak-kanak lain yang mengalami situasi yang sama.
Hanya berusia 12 tahun pada waktu itu, Mohamad telah membina sebuah sekolah di kem pelarian di mana 200 kanak-kanak boleh mengakses hak pendidikan.
Dia membantu kanak-kanak untuk belajar dan berjinak-jinak dengan sebarang sukan dan fotografi.
Sebagai menghargai sumbangan besarnya pada rakan-rakan sebaya, Mohamad dianugerahkan ‘Hadiah Keamanan Kanak-Kanak Antarabangsa’ pada 2017 dan ‘Anugerah Perubahan Generasi MTV’ pada 2018.
Naomi Wadler, 13
Sinar Naomi Wadler sebagai aktivis muda bermula ketika dia berada di bangku sekolahnya dan sewaktu itu genap sebulan kejadian menembak pelajar Afrika-Amerika berlaku di sekolahnya.
Misi Wadler adalah untuk memperkasakan gadis-gadis Afrika-Amerika dan berharap lebih banyak orang akan menyertai usahanya untuk memperingati Courtlin Arrington yang telah terbunuh dalam tragedi menembak di sekolah tersebut dan beberapa gadis Afrika-Amerika lain yang kehilangan dalam insiden keganasan senjata api.
Natasha Mwansa, 18
Natasha Mwansa dilahirkan dan dibesarkan di Zambia, di mana dia menekankan hak kesihatan dan kesejahteraan anak muda, terutamanya terhadap isu perkahwinan kanak-kanak.
Melalui peranannya sebagai wartawan muda dan sebagai pemantau akauntabiliti sosial menerusi pelbagai pertubuhan kesihatan, dia mengumpul maklumat mengenai hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan.
Atas kapasitinya sebagai wartawan muda juga, Mwansa dipilih untuk menjadi sebahagian daripada 'Lembaga Penasihat Pemuda Suruhanjaya Kesatuan Afrika' dan menjadi penerima termuda bagi 'Anugerah Pemimpin Kesihatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia'.
Salvador Gómez-Colón, 17
Apabila taufan María membadai Puerto Rico pada tahun 2017, Salvador Gómez-Colón dimaklumkan oleh orang sekitarnya mengenai kemungkinan tidak mendapatan bekalan kuasa atau elektrik untuk sekurang-kurangnya setahun.
Akibat masalah itu, Gómez-Colón terpanggil mencipta kempen "Sinar dan Harapan untuk Puerto Rico" bagi mengedarkan lampu berkuasa solar, mesin basuh berkuasa tangan dan bekalan lain kepada lebih daripada 3,100 keluarga di pulau itu.
Gómez-Colón terus menyokong pelaksanaan sistem tenaga pintar di Puerto Rico dan telah melancarkan inisiatif kemanusiaan "Sinar dan Harapan untuk Bahama".
Untuk itu, Salvador disenaraikan dalam salah satu daripada 30 Majalah TIME pada 2017 dan menerima ‘Anugerah Belia Alam Sekitar Presiden dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat’ dan ‘Anugerah Diana’ untuk kerja-kerja kemanusiaan sosial pada tahun 2019.
BACA: Davos 2020: WEF edisi ke-50 angkat isu krisis iklim, alam sekitar