Greta Thunberg dijangkiti COVID-19?
Agensi
Mac 25, 2020 19:43 MYT
Mac 25, 2020 19:43 MYT
MUNGKINKAH Greta Thunberg dijangkiti COVID-19?
Aktivis alam sekitar itu mendakwa dia mungkin telah dijangkiti COVID-19 susulan beberapa gejala yang dialaminya selepas pulang dari Eropah.
"Kira-kira 10 hari lalu saya mula merasakan beberapa gejala seperti letih, menggigil, sakit tekak dan batuk," tulisnya dalam satu pautan di Instagram.
Thunberg dan ayahnya telah menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga, namun mereka tidak menjalani ujian.
Setakat hari ini, Sweden melaporkan 2,272 kes yang disahkan, namun hanya mereka yang mempunyai simptom yang teruk dan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko yang akan menjalani ujian.
Aktivis berusia 17 tahun itu turut berkata dia kini berasa semakin sihat tetapi memberi amaran kepada orang ramai tentang simptom yang dialaminya itu.
"Saya tidak rasa seperti sakit ketika itu. Kali terakhir saya demam, simptomnya lebih teruk.
"Inilah yang bahaya, orang-orang muda terutamanya mungkin tidak menunjukkan simptom, jadi mereka tidak tahu mereka adalah pembawa virus, seterusnya menjangkiti orang lain," tambahnya.