Greta Thunberg dan Malala Yousafzai saling mengagumi
Agensi
Februari 26, 2020 10:53 MYT
Februari 26, 2020 10:53 MYT
AKTIVIS alam sekitar, Greta Thunberg yang kini berada di United Kingdom, meluangkan masa melawat aktivis kemanusiaan, Malala Yousafzai di Universiti Oxford, pada Selasa.
Ia merupakan kali pertama kedua-duanya bertemu dan mereka saling meluahkan rasa kekaguman terhadap satu sama lain.
"Hari ini saya bertemu dengan ikon saya," Thunberg memuat naik kaspyen bersama foto di Twitter. "Apa lagi yang boleh saya katakan?"
"Saya sanggup terlepas kelas untuk bertemunya," itu pula kemaskini Yousafzai di Twitter.
Malala dan Thunberg masing-masing pernah menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan (Malala menang pada 2014 ketika berusia 17 tahun, iaitu usia Thunberg sekarang).
Dalam wawancara baru-baru ini dengan majalah Teen Vogue, Yousafzai yang kini berusia 22 tahun memuji Thunberg dan Emma Gonzalez, seorang mangsa keganasan senjata api dan pengasas gerakan March For Our Lives, untuk meneruskan legasi gerakan aktivisme.
"Adakalanya kita tidak mempunyai golongan belia dan wanita sebagai pembuat keputusan.
"Jadi apabila kini kita sudah berupaya membawa suara orang muda dan wanita, saya fikir ia adalah satu perubahan besar,"katanya seperti yang dipetik daripada majalah itu.
#aktivis
#Greta Thunberg
#Hadiah Nobel Keamanan
#Malala Yousafzai
#Twitter
#United Kingdom
#Universiti Oxford