Greece mula hadkan pelancong ke Acropolis Athens untuk cegah kerosakan
Bernama
September 5, 2023 16:19 MYT
September 5, 2023 16:19 MYT
ATHENS: Dalam usaha untuk mengekalkan sisa tinggalan di Greece, mercu tanda paling terkenal di Athens, Acropolis mula dihadkan untuk pelawat.
Sebuah laman sesawang tempahan baharu kini menjejaki pelancong di Acropolis sambil menguatkuasakan slot masa setiap jam bagi menangani kesesakan dan memelihara tapak arkeologi itu yang menjadi antara mercu tanda bersejarah yang paling terkenal di dunia, lapor United Press International (UPI).
Acropolis Athens adalah kompleks monumen Yunani purba yang paling menarik dan lengkap yang masih wujud pada zaman ini, menurut UNESCO.
"Jelas sekali pelancongan adalah wajar untuk kita semua. Tetapi kita perlu mencari cara untuk hadkan pelancongan berlebihan daripada merosakkan monumen itu," kata menteri kebudayaan Greece Lina Mendoni kepada radio Greek minggu lalu.
Sistem baharu itu, yang dilancarkan Isnin akan menghadkan lawatan Acropolis kepada 20,000 pelancong sehari dan akan digunakan di tapak Yunani lain, mulai April.
Akses akan diberikan kepada 3,000 pengunjung antara 8 pagi dan 9 pagi, diikuti oleh 2,000 pengunjung setiap jam berikutnya.
Mendoni berkata Acropolis, yang terletak di atas bukit berbatu di Athens dan menempatkan koleksi runtuhan, struktur dan artifak termasuk kuil Parthenon yang didedikasikan untuk dewi Athena, kini menerima sehingga 23,000 pelawat sehari, yang disifatkan sebagai jumlah yang sangat besar.
-- BERNAMA