Greece lantik presiden wanita pertama

Agensi
Januari 22, 2020 07:44 MYT
Katerina Sakellaropoulou mendapat sokongan 261 Ahli Parlimen di parlimen yang mempunyai 300 kerusi. - REUTERS
SEORANG hakim mahkamah tinggi dan penyokong hak asasi manusia, Katerina Sakellaropoulou, dipilih presiden wanita pertama di Greece, untuk tempoh lima tahun.
Sakellaropoulou dicalonkan oleh Parti Demokrasi yang konservatif, namun berjaya mendapat sokongan parti pembangkang utama, Syriza, dan Gerakan Perubahan berhaluan kiri.
Ini bukan kali pertama Sakellaropoulou memecahkan dominasi lelaki.
Beliau sebelum ini dipilih sebagai wanita pertama yang berkhidmat sebagai presiden Dewan Negara, yang merupakan mahkamah pentadbiran tertinggi Greece.
Beliau memegang jawatan tersebut selama 15 bulan.
Dalam undi Parlimen pada Rabu, wanita berusia 63 tahun itu mendapat sokongan 261 Ahli Parlimen di parlimen yang mempunyai 300 kerusi, lebih 200 yang diperlukan oleh perlembagaan.
Sakellaropoulou menggantikan presiden sebelum ini, Prokopis Pavlopoulos, seorang ahli politik konservatif berusia 69 tahun, yang juga seorang peguam dan ahli akademik.
Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis dalam reaksinya memaklumkan keputusan itu adalah gambaran masa depan negara tersebut.
"Negara kita memasuki dekad baharu dengan lebih optimis," kata beliau.
#Greece #hakim #Katerina Sakellaropoulou #mahkamah #Parlimen #pembangkang #presiden
;