Gorila pandai guna bahasa isyarat mati dalam tidur

Agensi
Jun 24, 2018 17:48 MYT
Koko bersama Dr Francine 'Penny' Patterson. -Foto Koko.org.
KOKO, gorila yang terkenal dengan kemampuan berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dijumpai mati pada Selasa.
Gorila dari jenis 'western lowland' itu mati ketika tidur pada usia 46 tahun di kawasan hutan simpan berdekatan pergunungan Santa Cruz di California.
Koko dilahirkan di Zoo San Francisco pada 4 Julai 1971 dan ia dipilih sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan bahasa dengan pakar psikologi bernama Dr Francine 'Penny' Patterson.
Melalui projek berkenaan, kemampuan penggunaan bahasa isyarat oleh Koko membawa kepada pengetahuan baharu buat pengkaji haiwan berkenaan dalam memahami emosi haiwan itu.
Koko pernah dipaparkan di muka hadapan majalah National Geographic dengan salah satu daripadanya menunjukkannya kebolehannya bergambar swafoto.
Selain memahami serta mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, gorila betina itu juga dipercayai memahami beberapa perkataan bahasa Inggeris.
Penemuan ini membuktikan bahawa haiwan yang sama spesis sepertinya juga mempunyai kaedah komunikasi yang hampir sama seperti manusia.
Kematian Koko bukan sahaja memberi kesan emosi kepada saintis yang pernah bekerja dengan gorila itu, malah kalangan netizen yang menyampaikan ucapan takziah di laman Facebook Yayasan Gorila dan laman koko.org.
#bahasa isyarat #California #California Santa Cruz #gorilla #koko #western lowland gorilla
;