Google Maps paparkan 'Gulf of America' untuk pengguna di AS

Bernama
Februari 11, 2025 12:50 MYT
Lembaga Nama Geografi AS secara rasmi menukar nama perairan di pantai selatan AS dan pantai timur Mexico pada Isnin, susulan arahan Trump untuk pelabelan semula bagi menghormati 'keagungan Amerika'. - Gambar fail/REUTERS
SAN JOSE (California: Google telah menukar nama "Gulf of Mexico" atau Teluk Mexico kepada "Gulf of America" atau Teluk Amerika bagi pengguna perkhidmatannya di Amerika Syarikat selepas kerajaan AS secara unilateral menamakan semula perairan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bagi pengguna di luar Amerika Syarikat, kedua-dua nama masih dipaparkan.
Syarikat teknologi itu mengumumkan perubahan itu beberapa hari lalu, dengan alasan bahawa ia menjadi "amalan dalam menerapkan perubahan nama apabila ia telah dikemas kini dalam sumber rasmi kerajaan."
Lembaga Nama Geografi AS secara rasmi menukar nama perairan di pantai selatan AS dan pantai timur Mexico pada Isnin, susulan arahan Presiden AS Donald Trump untuk pelabelan semula bagi menghormati "keagungan Amerika".
Sebagai respons, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menegaskan bahawa "bagi kami, ia tetap Teluk Mexico, dan bagi seluruh dunia, ia akan kekal sebagai Teluk Mexico.
Perairan itu bukan sahaja bersempadan dengan negeri-negeri AS seperti Texas, Louisiana, Mississippi, Alabama dan Florida, tetapi juga dengan Mexico dan Cuba.
Menurut dekri Trump, perubahan nama ini terpakai sehingga ke sempadan maritim Mexico dan Cuba.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Amerika Syarikat #Mexico #Teluk Mexico #Gulf of America
;