Google Maps mungkin guna rakaman dashcam untuk kemas kini data pemetaan

Amanz
Disember 12, 2024 11:10 MYT
Google Maps dilaporkan mungkin akan menggunakan data dari perakam kereta anda untuk menambah baik sistem pemetaan mereka. - Foto Google Maps
DASHCAM atau perakam kereta kini menjadi semakin popular.
Orang ramai mula menggunakannya selepas sedar ia penting untuk keselamatan diri.
Tambahan pula, MIROS pun mula mengiktiraf perakam terbaik dengan pelbagai pilihan dari harga jualan termurah sehinggalah yang premium.
Terbaru, Google Maps mungkin akan menggunakan data dari perakam kereta anda untuk menambah baik sistem pemetaan mereka.
Menurut Google, mereka bekerjasama dengan beberapa pengeluar perakam kereta yang mengumpul dan menyimpan data rakaman pengguna.
Data yang diambil merupakan video pendek yang bisu dan kemudian dengan teknologi kecerdasan buatan, maklumat dari video akan dikeluarkan seperti informasi baharu mengenai saiz jalan raya, papan tanda yang baru dipasang, perubahan had kelajuan jalan dan lain-lain.
Google turut menyatakan yang rakaman ini turut akan dikendalikan oleh pasukan operasi mereka.
Setiap video hanya akan digunakan pada sistem Google Maps yang sepatutnya dikemas kini.
Mungkin jalan pintasan yang baru siap dibina, tetapi tiada pada tahun lepas atau mungkin juga laluan lebuh raya baharu.
Google menyatakan yang setiap video tidak akan dikongsi ke mana-mana platform dan tidak akan menyatakan dari siapa mereka menerima kebenaran untuk menggunakannya.
Video juga hanya yang berkaitan jalan raya umum dan yang memaparkan lokasi baharu yang tiada dalam Google Maps.
Sumber: Google
#Google Maps #dashcam #data rakaman #pemetaan
;