Google Glass mempunyai titik buta, kata kajian

Bernama
November 5, 2014 14:52 MYT
Minat konsumer terhadap Google Glass meningkat lebih-lebih lagi dengan pengeluaran beberapa model seumpamanya dalam pasaran. - Foto fail
Para penyelidik di Amerika Syarikat (AS) yang membuat uji kaji terhadap penggunaan gajet sistem paparan sedia pakai iaitu Google Glass, berkata bahawa pemakaian gajet tersebut didapati menghasilkan halangan penglihatan pada sudut tertentu atau titik buta (blind spot).
Hal itu dikhuatiri menjejaskan keselamatan jika pengguna memakainya ketika melakukan aktiviti seperti ketika berjalan kaki, bersukan dan terutamanya ketika memandu.
Minat konsumer terhadap gajet sedia pakai itu dilihat meningkat lebih-lebih lagi dengan pengeluaran beberapa model seumpamanya dalam pasaran, lapor agensi berita Xinhua.
Walau bagaimanapun, kesannya terhadap penglihatan keseluruhannya belum dikenal pasti.
Dalam kajian yang dilakukan Tsontcho Ianchulev dari University of California, San Francisco dan pasukannya itu, perbandingan mengenai prestasi medan penglihatan telah dibuat pada Google Glass dan juga cermin mata biasa.
Ujian penglihatan perimetrik dan bacaan medan penglihatan telah dilakukan ke atas tiga individu yang sihat dengan upaya penglihatan yang baik. Mereka diuji dengan pemakaian gajet Google Glass, cermin mata biasa dan juga mengambil kira lebar sisi dahi yang dianggap bingkai kawalan penglihatan.
Kumpulan penyelidik itu mendapati terdapat titik buta yang signifikan pada ketiga-tiganya. Bagi yang memakai Google Glass, ‘terdapat halangan medan penglihatan yang ketara pada sudut atas kuadran kanan’.
Analisa yang dibuat mendapati bahawa mereka yang menggunakannya meletakkan gajet tersebut dekat dengan paksi pupil mata. Keadaan itu boleh menimbulkan titik buta dan mengganggu urusan seharian.
"Kajian lanjutan bagi memahami kesan gajet tersebut terhadap fungsi penglihatan adalah amat diperlukan memandangkan penggunaannya menunjukkan peningkatan,” kata penyelidik tersebut dalam rumusannya.
Kajian tersebut diterbitkan dalam Journal of American Medical Association (JAMA).
#blind spot #gajet #Google Glass #titik buta #ujian
;