Google gesa Korea Utara benarkan akses internet
Astro Awani
Januari 10, 2013 06:12 MYT
Januari 10, 2013 06:12 MYT
Google menggesa Korea Utara melaksana pendemokrasian maklumat dengan membenarkan rakyatnya menggunakan internet.
Ia berpendapat, sekatan terhadap akses internet memberi implikasi negatif terhadap kemajuan ekonomi.
Perkara berkenaan disuarakan Pengerusi Eksekutifnya, Eric Schmidt ketika mengadakan lawatan ke Pyongyang.
Bekas Gabenor New Mexico Bill Richardson antara yang turut serta dalam rombongan berkenaan.
Mereka juga dibawa melawat kemudahan teknologi negara komunis itu.
Mengulas mengenai kunjungannya, Schmidt memaklumkan, teknologi komunikasi Korea Utara amat terhad.
“Pihak kerajaan Korea Utara harus melakukan sesuatu. Mereka harus membenarkan rakyat mereka untuk akses internet tetapi pihak kerajaan belum lagi melakukan itu. Ini adalah pilihan mereka dan ini adalah masa yang tepat dan kalau tidak, mereka akan ketinggalan,” kata Schmidt.
Korea Utara melaksanakan sekatan terhadap penggunaan internet sebagai sebahagian pengasingan dasar luarnya.