Google disaman RM1.6 bilion oleh mahkamah Rusia

Sinar Harian
Julai 19, 2022 12:10 MYT
Google disaman kerana enggan memadamkan maklumat terlarang mengenai konflik di Ukraine. - Gambar hiasan
MOSCOW: Mahkamah Rusia telah mendenda syarikat enjin carian internet dari Amerika Syarikat (AS), Google sebanyak AS$373 juta (RM1.6 bilion) pada Isnin kerana kegagalannya memadam maklumat terlarang mengenai konflik di Ukraine, lapor RIA Novosti.
Mahkamah Daerah Tagansky Moscow telah menjatuhkan hukuman denda berdasarkan perolehan ke atas syarikat teknologi itu kerana keengganannya berulang kali untuk memadamkan maklumat yang dilarang oleh undang-undang Rusia.
Roskomnadzor iaitu badan pemerhati internet dan media nasional sebelum ini mahu syarikat itu untuk mengalih keluar semua maklumat yang mengelirukan mengenai serangan tentera Rusia di Ukraine daripada YouTube.
Sebelum keputusan mahkamah, Roskomnadzor telah menghantar pemberitahuan yang memerlukannya mematuhi undang-undang Rusia.
Bagaimanapun, gergasi teknologi itu gagal untuk mematuhinya.
Jumlah denda adalah sama dengan satu persepuluh daripada perolehan tahunan syarikat dan struktur gabungannya di Rusia.
Rusia telah lama mengkritik cara platform asing mengedarkan kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang negaranya. - Sinar Harian memetik Agensi
#Google #saman #Rusia #Ukraine
;