Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Bernama
Februari 19, 2025 06:15 MYT
Februari 19, 2025 06:15 MYT
Google membayar EUR326 juta kepada Itali bagi menyelesaikan pertikaian cukai yang berlarutan selama beberapa tahun.
MILAN: Gergasi internet Amerika Syarikat (AS), Google, telah membayar EUR326 juta (US$340 juta) kepada Itali bagi menyelesaikan pertikaian cukai yang berlarutan selama beberapa tahun, menurut Pejabat Pendakwa Raya Milan pada Rabu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Google mengesahkan penyelesaian luar mahkamah itu, dengan menyatakan bahawa ia dan pihak berkuasa kewangan Itali telah mencapai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.
Dalam masa yang sama, Pendakwa Raya Marcello Viola mengumumkan hasratnya untuk memohon penutupan kes terhadap anak syarikat Ireland, Google Ireland Limited, berkaitan dakwaan pengelakan cukai.
Pertikaian itu melibatkan dakwaan syarikat AS itu cuba mengelak pembayaran cukai di Itali melalui Ireland.
- BERNAMA