Google akui label 'Palestin' tidak pernah wujud dalam Google Maps
Mariah Ahmad
Ogos 10, 2016 12:31 MYT
Ogos 10, 2016 12:31 MYT
NAMA Palestin yang dilihat hilang terus daripada aplikasi peta Google Maps telah mencetuskan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah daripada jutaan penduduk dunia lain yang mengakui kewujudan negara tersebut di seluruh dunia.
Kemarahan tersebut turut disuarakan melalui hashtag ‘PalestinIsHere’ yang trending sejak semalam di media sosial.
Semakan di Google Maps menunjukkan, hanya kelihatan satu garisan titik sempadan, yang membezakan Tebing Barat dan Gaza serta Israel.
Kawasan dalam garisan tersebut dilihat seperti ia sebahagian daripada Israel.
Namun persoalannya, adakah benar-benar nama Palestin terus hilang daripada Google Maps, atau ia tidak pernah wujud sama sekali dalam Google Maps?
"Tidak pernah ada label bernama 'Palestin' dalam Google Maps. Namun, kami telah mengesan 'bug' (kesilapan) atau pepijat dalam Google Maps, dengan label 'Tebing Barat' dan ''Gaza'.
"Kami sedang berusaha segera untuk mengembalikan label tersebut di kawasan itu," kata Google dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu secara langsung menunjukkan bahawa selama ini sememangnya nama Palestin itu tidak pernah disertakan dalam pemetaan Google Maps.
Pada 25 Julai yang lalu Barisan Wartawan Palestin telah melakukan bantahan terhadap Google dengan mendakwa syarikat teknologi itu telah sengaja 'membuang' nama Palestin di Google Maps.
Semenjak itu, sentimen terhadap isu tersebut meningkat di seluruh dunia.
'Kesilapan' yang diakui Google itu juga telah menyebabkan segolongan pengguna media sosial, beralih arah kepada enjin carian lain sebagai tanda protes.
pengiktirafan de facto Palestin sebagai sebuah negara dengan 138 undi bersetuju, sembilan menentang dan 41 memilih untuk berkecuali.
Pada tahun 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan